Balik Kampung: PLUS jangka lebih 2 juta kenderaan sehari - Utusan Malaysia

Balik Kampung: PLUS jangka lebih 2 juta kenderaan sehari

plus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjangkakan lebih 2 juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan susulan tempoh musim perayaan hujung minggu ini. 

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS menyarankan pengguna lebuh raya mematuhi jadual jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi perjalanan di lebuh raya pada 29 April hingga 9 Mei ini untuk mengurangkan kesesakan atau alami jangkaan tempoh perjalanan lebih panjang. 

Katanya, TTA itu direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. 

Justeru, ujarnya, dengan mematuhi TTA itu, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan pengguna lebuh raya nanti. 

“Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, kami menjangka kira-kira dua juta kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami. 

“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, bagi pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor pada 29 April sehingga 2 Mei nanti, pengguna dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum pukul 10.00 pagi. 

Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas pukul 1.00 petang. 

Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri pada 5 Mei sehingga 9 Mei nanti, pelanggan lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9:00 pagi. 

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA itu bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang. 

“Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas pukul 9.00 pagi. 

“Manakala, tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga 7 jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas pukul 9.00 pagi,” jelasnya. 

Dalam kenyataan sama, PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

“Pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih dan mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara. 

“Di samping jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik,” jelas PLUS. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN