Allahyarham Ku Deen selamat disemadikan - Utusan Malaysia

Allahyarham Ku Deen selamat disemadikan

Ismail Sabri Yaakob memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini hari ini. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perasaan sayu pilu dan sayu mengiringi majlis pengebumian bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, hari ini.

Pada majlis itu, lebih 200 orang hadir termasuk balu Allahyarham, Tengku Puan Sri Noraini Tengku Zainal Abidin, 83 beserta anak dan cucunya.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada pukul 11 pagi dibawa oleh van jenazah dan selamat dikebumikan pukul 12 tengahari selepas disolatkan jenazah oleh Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Mahyuddin Aziz.

Anak veteran UMNO itu, Tengku Farith berkata, beliau berterima kasih kepada mereka yang hadir untuk membuat penziarahan terakhir dan mendoakan pemergian bapanya.

Katanya, beliau ingin memohon maaf jika Allahyarham pernah mengguris hati individu-individu tertentu dan memaafkan bapanya supaya rohnya tenang.

“Saya ingin mengucap terima kasih kepada pihak media, sahabat-sahabat daripada kabinet lama dan kerajaan untuk menziarahi perjalanan terakhir bapa saya di tanah bumi kita. Saya minta ampun kalau Allahyarham ada kesalahan pada siapa-siapa sahaja.

“Saya minta mereka untuk memaafkan kesalahan-kesalahan Allahyarham dan biar beliau berada di dalam kubur dengan amar serta diletakkan di tempat solihin di sisi Allah dan syurganya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas selesai majlis kebumian.

Allahyarham yang dikenali dengan panggilan mesra Ku Deen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta pada 8.43 kelmarin disebabkan sakit tua.

Turut hadir semasa majlis solat jenazah dan pengebumian Allahyarham adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan juga Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Saya juga berasa sedih dengan pemergian Allahyarham yang merupakan seorang pemimpin disegani, bukan sahaja di dalam kerajaan tetapi juga di dalam politik. Banyak kementerian di terajui oleh beliau.

“Jawatan terakhir di dalam UMNO pun adalah sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin, bermakna sumbangan oleh Allahyarham kepada UMNO berterusan. Saya percaya semasa beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden banyak perkara dilakukan untuk memperkukuhkan parti maka UMNO dan negara kini hilang seorang pemimpin,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, walaupun tidak terlalu mengenali secara peribadi dengan Allahyarham kerana masih baharu di dalam arena politik, tetapi dirinya tetap menghormati Allahyarham sebagai senior politik.

“Saya tidak mengenali secara rapat, tetapi mengenali Allahyarham sebagai pemimpin UMNO. Sebagai ahli parti, kita tahu akan apa sumbangannya dan kita sangat menghargai serta berterima kasih kepada sumbangan besar beliau,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya