Ahmad Maslan: UMNO, Bersatu sudah bercerai - Utusan Malaysia

Ahmad Maslan: UMNO, Bersatu sudah bercerai

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “UMNO dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sudah ‘bercerai’ dan tidak mungkin untuk UMNO terima mereka kembali untuk atas alasan apa pun.”

Itu penjelasan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga mengatakan UMNO bersetuju untuk tidak melibatkan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita sudah tiada kerjasama dengan Bersatu dan semua tahu perkara itu malah telah disebut dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu. Tiada apa-apa pertukaran dalam hal itu.

“Kita sudah ‘bercerai’ sebab ada banyak punca termasuk penubuhan Bersatu itu juga yang menewaskan kami dalam PRU14. Pada masa itu, macam-macam mereka kata pasal kami,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, perbuatan Bersatu yang mengambil ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen UMNO apabila mereka lompat membuatkan kedua-dua parti itu sukar untuk bekerjasama.

“Mereka juga memberikan imbuhan kepada yang lompat contohnya ada yang diberikan jawatan. Dalam 31 kerusi Bersatu di Parlimen, enam adalah kerusi asal, 10 daripada kumpulan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali iaitu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 15 daripada UMNO,” katanya.

Menurut Ahmad, penubuhan Bersatu seolah-olah mahu menggantikan UMNO kerana banyak ciri-ciri UMNO yang diambil pakai oleh Bersatu.

“Mereka itu mahu ambil alih UMNO kerana sebahagian besar mereka adalah ahli UMNO. Nama dan warna kami juga mereka ambil. ‘Bersatu’ itu adalah tagline UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,” katanya.
Ahmad juga tidak nampak parti pembangkang lain bersedia untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana mempunyai tujuan yang berbeza-beza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN