JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan graduan yang dilahirkan mereka menepati kehendak pasaran semasa apabila berjaya mencatat 97.94 peratus bagi Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam bagi tahun 2021.
Peratusan itu merupakan yang tertinggi direkodkan universiti awam di negara ini berdasarkan Kajian Kadar Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam (Warganegara) Tahun 2021 yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, peratusan itu juga merupakan pencapaian tertinggi yang direkodkan universiti berkenaan berbanding tahun-tahun terdahulu.
“Pencapaian ini seiring dengan misi universiti untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif demi pengkayaan khazanah negara.
“Ini membuktikan UTM berjaya menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan berkualiti dan kompeten sejajar dengan keperluan majikan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, UTM merupakan salah satu daripada universiti awam yang menyahut hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan aspek kebolehpasaran graduan sebagai agenda utama universiti.
“Pelan enVision 2025 UTM turut meletakkan kebolehpasaran graduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama yang menekankan kepada pendapatan berkualiti dengan kebolehpasaran premium,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat pula memberitahu, kejayaan tersebut merupakan komitmen universiti yang telah menubuhkan pasukan khas bagi memastikan graduan mereka mendapat tempat di alam pekerjaan.
“Pelbagai inisiatif pengurusan kebolehpasaran graduan telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021, antaranya program pembangunan kerjaya (Talent & Competency Management), mewujudkan kerjasama dengan industri premium, dan mengendalikan Seminar Kebolehpasaran Graduan yang disertai oleh semua fakulti.
“Selain itu, turut diadakan bengkel berkaitan dengan pendedahan dan keperluan terkini pekerjaan yang dianjurkan dengan kerjasama pemain industri, program upskilling dan reskilling, program pensijilan profesional dan program pemadanan pekerjaan.
“Dalam pada itu, kita turut melakukan semakan kurikulum dengan mengambilkira kebolehpasaran graduan sebagai faktor yang menyumbang kepada kejayaan sesuatu program akademik,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE