Waspada kemasukan varian baharu Covid-19 - Utusan Malaysia

Waspada kemasukan varian baharu Covid-19

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Varian-varian baharu Covid-19 berisiko memasuki Malaysia selepas peralihan kepada fasa endemik berikutan aktiviti keluar dan masuk menerusi pintu sempadan negara

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, apabila sempadan dibuka kes Covid-19 dari luar lebih mudah memasuki negara ini.

Menurut beliau, situasi tersebut boleh berlaku kerana varian-varian baharu mungkin sukar untuk dikenal pasti seperti varian sebelum ini.

“Apabila kita di lapangan terbang dan sebagainya, ujian yang dilakukan adalah saringan biasa sahaja. Kita tidak buat ujian genetik analisis, jadi ada kemungkinan mereka dari luar negara membawa balik varian baharu.

“Terutama apabila varian itu tidak membawa gejala teruk seperti Omicron, ia bahaya dan mudah berjangkit tetapi sifatnya tidak seperti Delta lalu menyebabkan penghidap tidak bergejala. Dalam kes tertentu walaupun kita buat ujian masih sukar untuk mengenal pasti varian itu,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, sempadan negara akan dibuka dan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara disasarkan memasuki Malaysia hingga akhir tahun ini sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka mulai Jumaat ini.

Sharifa Ezat berkata, walaupun kemungkinan itu wujud, negara masih perlu membuka sempadan disebabkan peralihan kepada fasa endemik, jika tidak ia seakan-akan meletakkan negara di bawah tempurung.

Jelasnya, untuk mengatasi kemungkinan tersebut, Kementerian Kesihatan perlu melakukan pengawasan terhadap kemasukan pelancong atau warganegara sendiri daripada negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah.

“Kementerian perlu semak data luar dan dalam negara sama ada terdapat kemungkinan varian baharu timbul terutama untuk negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah, jadi kebimbangan untuk mereka bawa varian baharu sangat tinggi.

“Sebagai contoh Omicron, ia dikenal pasti di Afrika dan salah satu sebabnya ia terjadi adalah vaksinasi di sana rendah dan apabila kadar itu kurang daripada 30 peratus ia menyebabkan Covid-19 boleh bermutasi dengan cepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN