Warga emas, anak teruja terima ijazah satu pentas - Utusan Malaysia

Warga emas, anak teruja terima ijazah satu pentas

ISMAIL Zakaria memperkatakan sesuatu kepada Izati Khairul Nisa selepas menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di Dewan Muadzam Shah UUM, Sintok, Kedah hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINTOK: Tiada yang paling menggembirakan bagi seorang warga emas apabila berjaya menerima ijazah doktor falsafah (PhD) yang diusahakan sejak lapan tahun dahulu pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Muadzam Shah di sini hari ini.

Malah, lebih manis bagi graduan Pengajian Sosial, Ismail Zakaria, 62, yang juga bekas pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini, kegembiraan itu dikongsi bersama anak perempuannya, Izati Khairul Nisa, 32, yang menerima ijazah Sarjana Komunikasi Pengurusan di pentas konvokesyen sama.

Menurut Ismail yang bersara dua tahun lepas, dia menanam cita-cita untuk memperoleh PhD itu kerana berkeinginan untuk menjadi pensyarah sejak kecil.

“Selama lapan tahun saya berjuang untuk memperoleh PhD dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya juga bekerja sebagai pegawai JKM di Pokok Sena sebelum bersara wajib. Tetapi, saya bulatkan keinginan tersebut dan akhirnya setelah lapan tahun tercapai juga.

 “Lebih menggembirakan saya adalah saya menerima ijazah ini bersama anak saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah masing-masing  di UUM, Sintok hari ini.

Sementara itu, menurut Izati, bapanya sentiasa menjadi semangat untuk dia menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bapa saya banyak memberi semangat dan insya-Allah, selepas ini, saya akan mengikut jejaknya menyambung pengajian ke peringkat PhD juga,” katanya.

Seramai 4,025 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM yang berlangsung tujuh hari bermula hari ini di Dewan Muadzam Shah di kampusnya dekat sini hari ini.

Majlis konvokesyen ini juga mencatatkan kenangan manis buat pasangan suami isteri, Saufi Bukhari dan Husna Jamal Abdul Nasir, masing-masing 36, yang menerima ijazah PhD masing-masing dalam jurusan Sains Komputer hari ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN