Varieti benih padi baharu IS22 pula akan dihasilkan - Utusan Malaysia

Varieti benih padi baharu IS22 pula akan dihasilkan

ISMAIL Sabri Yaakob melihat Benih Padi IS21 ketika melancarkan padi baharu itu di Sekinchan, Selangor, pada November tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi Nuklear Malaysia memulakan penyelidikan bagi menghasilkan varieti benih padi IS22 yang ditambah baik sebagaimana permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia merupakan komitmen berterusan membantu petani dan pesawah agar tidak rugi jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca ekstrem tidak menentu.

Menurut beliau, varieti baharu benih padi itu akan diberi nama IS22.

“Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global,” katanya dalam kenyataan semalam.

Adham berkata, penyelidikan benih padi IS22 itu adalah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Katanya, ia turut mendapat bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia.

Kata beliau, seorang pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia juga ketika ini sedang membuat kajian Doktor Falsafah (PhD) untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir (submerge) yang mana padi IS21 dikahwinkan dengan kaedah kacukan balik (advanced backcross method) dengan varieti yang tahan banjir dan matang awal.

Pada masa sama, katanya, Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang turut dilaksanakan pada tahun ini menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi menggunakan alur ion (ion beam) khidmat sinaran yang diperoleh daripada Quantum and Radiological Science and Technology (QST).

“Kajian ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya