KOTA BHARU: Terkejut melihat sekatan jalan raya (SJR), seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka merempuh Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh malam tadi.
Nahas kira-kira pukul 11.09 malam itu mengakibatkan Abdullah Ab. Ghani, 66, yang memandu kereta itu cedera di hidung manakala anaknya, Mohammad Ridwan, 25, cedera di pinggang dan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Setiu, Terengganu, warga emas terbabit dikatakan terkejut melihat SJR berhampiran Balai Polis Bukit Yong lalu tertekan pedal minyak.
“Kejadian itu disedari anaknya yang duduk di sebelah sebelum dia bertindak menarik stereng daripada merempuh belakang sebuah bas di hadapan mereka, sebelum kereta tersebut terbabas dan melanggar pagar Balai Polis Bukit Yong.
“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua beranak mendapati mereka negatif dadah dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kata Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE










