LIPIS: Kerajaan negeri memperuntukkan RM151.28 juta bagi menyiapkan projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaik taraf sistem yang sedia ada pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu meningkat RM58.78 juta atau naik sebanyak 63.5 peratus daripada sejumlah RM92.5 juta peruntukan tahun lalu bagi tujuan menambah baik perbekalan air demi manfaat rakyat negeri ini.
“Peningkatan peruntukan ini membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja cakna dengan isu air di semua tempat, malah, bersungguh-sungguh menyelesaikan isu ini kerana kita tahu seperti kata orang-orang tua, ‘tebu ditanam takkan peria yang tumbuh’ bermaksud berbuat baik, tentu kebaikan juga yang dibalas.
“Kesinambungan projek yang lalu, kerajaan negeri menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) akan meneruskan pelaksanaan projek yang telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mana sebahagian besarnya merupakan projek sambungan yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek pembinaan Off River Storage (ORS) atau Kolam Takungan Hiliran di Kuala Medang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Datuk Razihan Adzharuddin, Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pahang, Ir. Roslina Yusop dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha menangani bekalan air terawat kepada penduduk menerusi peruntukan sendiri kerana pengalaman beberapa tahun lalu memberikan pengajaran khususnya pengurusan air dan alam sekitar.
“Kita berdepan dengan tekanan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 apabila Kerajaan Pusat di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) langsung tidak menyediakan peruntukan projek bekalan air dan pembangunan lain, manakala hal yang sama juga dialami seterusnya apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih selepas itu.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang tahu PH dan PN memberi tekanan khususnya tidak menyediakan peruntukan dalam tempoh tersebut malah sehingga kini pemimpin pembangkang di Pahang kerap menyalahkan kita (kerajaan negeri) mengenai isu air dan alam sekitar bagi tujuan politik masing-masing,” katanya.
Mengenai Projek ORS, Wan Rosdy menjelaskan, projek tersebut bernilai RM11 juta dibina di tapak seluas 2.3 hektar mula dilaksanakan pada bulan September tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini, iaitu tempoh selama 52 minggu.
“Projek ORS ini melibatkan dua agensi, iaitu JPS sebagai pelaksana, manakala Paip bertindak sebagai operator bekalan (air) membabitkan segmen pembinaan loji rawatan air, tangki simpanan dan pemasangan paip yang telah pun siap dan digunakan oleh pihak industri dan pengguna domestik.
“Kemudahan di ORS ini membolehkan air mentah dari sungai berhampiran disalurkan ke sebuah kawasan takungan akan melalui proses pramendapan sebelum dibekalkan ke loji rawatan air berhampiran yang mampu menampung bekalan selama 10 hari sekiranya penduduk terputus bekalan,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai selanjutnya berkata, projek ini juga antara alternatif kerajaan negeri menangani masalah loji rawatan air Kuala Medang yang terpaksa memberhentikan operasi apabila berlaku kekeruhan air mencecah 3,000 NTU atau tingkat kekeruhan teruk air antara lain berlaku pencemaran.
Katanya, seramai 3,000 penduduk Gugusan Felda Sungai Koyan, Kampung Kuala Medang, Kampung Tanjong Gahai, Agropolitan Gahai, Dusun Pak Senam, Kampung Bertang, Kampung Kuala Serai, Kampung Kuala Koyan dan beberapa buah penempatan di pesisir Sungai Jelai akan menikmati kemudahan projek ORS itu.
“Projek ini akan menjadi realiti tidak lama lagi sekali gus menepis tohmahan pembangkang yang kerap menggunakan isu air dan alam sekitar di negeri tujuan kepentingan politik pemimpin mereka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE