Rakyat Malaysia di Australia boleh perbaharui pasport secara online - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia di Australia boleh perbaharui pasport secara online

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang berada di Australia kini boleh membuat permohonan pembaharuan pasport mereka secara dalam talian menerusi Sistem Pasport Online bermula 22 Mac ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Jabatan Imigresen (JIM) mengambil maklum mengenai kesukaran yang dilalui rakyat Malaysia di Australia dalam urusan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kesukaran itu ditambah lagi dengan pelbagai perintah sekatan pihak berkuasa negara berkenaan, malah, sejak pandemik melanda, JIM menguruskan proses pembaharuan pasport melalui Sistem Temujanji Online (STO).

“Langkah itu kerana bilangan pelanggan terpaksa dihadkan dan tempoh operasi juga terpaksa dipendekkan.

“Oleh yang demikian, JIM mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat Malaysia di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, semua warganegara Malaysia di Melbourne dan seluruh negara itu boleh membuat permohonan melalui Sistem Pasport Online di pautan https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport.

Beliau menjelaskan, satu pasukan khas pegawai-pegawai JIM dari Putrajaya juga akan dihantar segera supaya bilangan pasport yang diproses di Melbourne dapat ditingkatkan dan waktu operasi boleh dipanjangkan melalui sistem syif.

“Pada masa sama, waktu operasi pejabat JIM di Melbourne juga akan dilanjutkan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, perlanjutan tempoh masa secara automatik selama dua tahun juga akan diberikan bagi kes-kes kritikal seperti pelajar dan pekerja agar mereka boleh memperbaharui visa di sana.

“Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar tidak menunggu di saat-saat akhir untuk memperbaharui pasport mereka,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN