KUALA LUMPUR: Pengundi di Johor digesa keluar mengundi esok sempena pilihan raya negeri (PRN) bagi menyatakan pendirian mereka untuk menolak kemungkaran dalam kalangan pemimpin.
Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan beberapa parti utama antaranya Bersatu, Pas dan Gerakan menawarkan satu wadah perjuangan kepada Bangsa Johor iaitu memastikan kepemimpinan kerajaan negeri bebas daripada penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, untuk itu, setiap pengundi haruslah menerima hakikat dan realiti bahawa ‘yang bersalah’ tidak layak untuk memimpin Johor.
“Sebab itu wadah perjuangan PN adalah bebas daripada penyalahgunaan kuasa. PN juga akan memastikan kepemimpin yang ditawarkan kepada Bbangsa Johor adalah mereka yang berintegriti.
“Dalam hal ini, PN mengajak Bangsa Johor menerima hakikat ‘yang bersalah tidak layak memimpin.’ Oleh itu, jangan pula kita bersubahat dengan mereka yang bersalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jelas beliau, para pengundi muda menjadi penentu kepada masa depan bangsa serta negeri dan kesempatan itu harus diterjemahkan dalam bentuk undi.
“Jangan silap langkah memilih pemimpin ‘yang bersalah’ untuk mentadbir negara,” katanya. – UTUSAN