PARTI yang bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini masih belum dapat memberi sebarang impak kerana tiada kawasan yang berpotensi dimenangi mereka setakat ini.
Meskipun mempertaruhkan sehingga 42 calon pada PRN itu, kehadiran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) umpamanya dilihat hanya akan menjadi pemecah undi masyarakat Melayu kerana majoriti kawasan yang ditandingi mereka melibatkan pengundi kaum itu.
Seperti juga parti-parti lain yang pertama kali mencuba nasib, Pejuang lebih kepada menjadikan Johor sebagai medan lapangan untuk memperkenalkan parti mereka kepada pengundi di samping melihat penerimaan masyarakat setempat.
Orang Johor hanya mengetahui kewujudan Pejuang kerana mereka mengenali pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain. Tetapi parti itu tiada kekuatan di peringkat cawangan atau bahagian-bahagian.
Pejuang kini bekerja keras untuk sekurang-kurangnya memenangkan Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Salleh di kerusi Machap. Namun beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga penyandang kerusi Layang-Layang.
Begitu juga dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menampilkan enam calon. Penyertaan parti yang sinonim dengan masyarakat Sabah itu dikatakan tidak ada signifikan di Johor. Meskipun terdapat komuniti Borneo yang ramai di negeri ini tetapi mereka tidak mengundi di Johor.
Walaupun dikatakan ada peluang di kerusi Pekan Nanas kerana faktor demografi calon dan pengundi di situ, tetapi sehingga kini tiada bacaan yang memihak kepada Warisan dalam kempen yang berbaki dua hari sahaja lagi.
Selain Pekan Nanas, Warisan turut akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Permas dan Bukit Batu. Mereka juga tiada nama besar yang dipertaruhkan.
Penglibatan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga tidak lebih kepada menjadikan PRN Johor sekadar platform iklan dalam mempromosikan parti tersebut. Ini apabila sekadar meletakkan empat calon di Puteri Wangsa, Tiram, Stulang dan Maharani.
Hanya nama Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon yang bertanding di DUN Puteri Wangsa mungkin dikenali pengundi di situ kerana beliau adalah bekas pemimpin PKR yang kini menyandang Ahli Parlimen Tebrau.
Dlagi parti yang meletakkan calon tunggal mereka iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) di Semerah dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Iskandar Puteri hanyalah dilihat sebagai meraikan prinsip demokrasi dan mahu beritahu rakyat bahawa mereka masih ada.
Justeru, penyertaan parti-parti ‘kecil’ ini dilihat tidak akan memberi kesan apa-apa terhadap pertembungan utama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) serta mungkin juga beberapa kerusi Pakatan Harapan (PH).
Analoginya – kehadiran mereka ibarat sekumpulan orang luar yang memasuki sebuah kampung dan disambut anak dara yang lawa-lawa. Tetapi di sebalik itu ada lagi sekumpulan wanita yang beritahu, “kami juga ada di sini”. – UTUSAN










