PRN Johor: Pusingan pertama kempen siapa menang? - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pusingan pertama kempen siapa menang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSINGAN pertama kempen berlalu sudah. Sabtu 26 Februari ke Sabtu 5 Mac hari ini.

Pusingan kedua menyusul esok hingga Jumaat 11 Mac, sebelum mengundi keesokannya.

Bagaimana bacaan pusingan pertama? Setakat pagi ini tiada isu tempatan yang konkrit berlegar dalam kempen parti-parti bertanding. Lebih banyak isu 1MDB dimainkan, biarpun kes itu sudah masuk mahkamah dan sedang dibicarakan.

Pendedahan Tim Leissner, nama Rohana Rozhan dan seorang dua lagi wanita kait dengan Leissner merancakkan lagi ceramah kempen di bilik-bilik gerakan markas parti. Ada satira, metaforanya. Sesekali gelak ketawa dari hadirin kempen.

Peliknya, sejak seminggu lalu, poster boy Barisan Nasional, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad langsung tidak `dibidik’ pembangkang. Baik dari Parti Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu mahupun Pejuang, Muda dan DAP. Dan mereka lebih gemar `membahan’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Agaknya peluru dari Bosku lebih menikam, menusuk kalbu. Bila digarap dengan fakta, boleh terduduk.

Di pihak PN, tonggaknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih menonjol berbanding Pas dan Gerakan. Sama seperti kempen di Melaka, ayat, perkataan membalun dari presidennya lebih menghiris perasaan musuh politiknya. ‘Penyamun, nak tengok perompak, podah’. Tak berlapik. Tak sembunyi. `Tampar terus’.

PKR pula yang menampilkan presidennya masih terus dengan pencak silat dan silambamnya.

Di PDM Bandar Layang-Layang malam kelmarin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim:

“UMNO kata dia mahu majoriti besar untuk menang, mahu Melayu jadi tuan. Dia perintah Melaka. Di Johor UMNO juga mahu Melayu jadi tuan,” katanya di hadapan pengundi India.

Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ditambah kekerapan petugas Kementerian Kesihatan turun padang memastikan penjarakan diri terus dipatuhi di markas parti.

Sesekali terdengar rungutan penyokong parti. Dek kerana merencatkan pergerakan jentera dan calon sampai terpacul keluar: “Minggu terakhir baik kita langgar sahaja”. Opps, hati-hati kawan. Fikirkan orang lain sama. Keluarga dan anak-anak mereka.

Pusingan kedua kempen lebih mencabar, lagi getir.

PRN Johor – antara `hidup, mati’ calon. Antara survival dan berkuburnya parti. Antara maruah melawan rasuah. Antara cepat, lewat PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN