Perlu serius tangani banjir- Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Perlu serius tangani banjir- Sultan Selangor

SULTAN Sharafuddin Idris Shah bertitah dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-14, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan kerajaan negeri memberi penekanan lebih serius terhadap usaha menangani masalah banjir yang semakin kerap berlaku.

Ia termasuk menyediakan pelan kerja mendalam dan melebarkan sungai, sistem perparitan dan membina kunci air di lokasi penting dengan mengambil kira kadar taburan hujan serta jadual air pasang laut.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sedih dan dukacita berkenaan kerana melihat kesan kerosakan teruk akibat banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. 

Baginda bertitah, kerajaan bukan saja menanggung kerugian, malah, rakyat akan terbeban jika semua pihak masih tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana itu.

“Sejak tragedi banjir besar di Selangor pada 1971, kita sudah belajar untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir apatah lagi dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang.

“Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan masa depan yang lebih efektif supaya rakyat tidak lagi merana dengan masalah banjir,” titah baginda ketika menyempurnakan istiadat pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-14, hari ini.

Persidangan penggal kelima selama dua minggu itu dijangka membahaskan isu antaranya bencana banjir, belanjawan negeri dan persediaan menghadapi fasa endemik.

Titah Sultan Sharafuddin, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diharap mengenepikan perbezaan fahaman politik supaya dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang.

“Kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenalpasti segera termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara. 

“Beta mahu semua pegawai, agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri lebih proaktif menyelesaikan masalah banjir serta tindakan cepat diambil kerana ia melibatkan nyawa dan kerugian harta benda,” titah baginda.

Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu mendepani penggunaan teknologi digital untuk ramalan supaya operasi Smart Disaster Management dapat segera diwujudkan.

“Penggunaan infrastruktur digital Selangor Gigabit Network (SeGNet) dan Smart Selangor Hybrid Cloud Data Centre (SSDC) harus diupayakan kepada semua agensi kerajaan, pejabat daerah dan tanah (PDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penyaluran data lebih cepat dan berkesan. 

“Pusat kawalan Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC) bagi pengurusan bencana juga harus diperkasakan termasuk penggunaan teknologi kawal perintah dan pemantauan automatik serta mengembangkan penggunaan infrastruktur digital ke setiap PDT,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin mahu projek seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna bagi mengelak banjir lebih buruk berlaku. 

“Beta juga berharap kerajaan negeri mengukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama banjir,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada lebih 20,000 petugas sama ada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang membantu sepanjang operasi banjir sebelum ini.

“Sebanyak 227 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan lebih 47,000 mangsa banjir dengan 3,503 aset dan keperluan logistik digerakkan ke kawasan terjejas. 

“Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM106 juta,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.