Peniaga berlesen kurang senang kehadiran penjaja di lampu isyarat - Utusan Malaysia

Peniaga berlesen kurang senang kehadiran penjaja di lampu isyarat

PENJAJA menjual jeruk mangga kepada pengguna kenderaan yang berhenti sebuah persimpangan lampu isyarat di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Peniaga makanan berlesen di bandar ini menyatakan rasa kurang senang terhadap kehadiran kumpulan penjaja yang menjual jeruk mangga kepada pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat di bandar ini.

Mereka berkata, kehadiran penjaja tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan mereka yang mempunyai lesen.

Selain itu, perbuatan mereka itu membahayakan keselamatan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kegiatan penjaga jeruk mangga aktif di persimpangan lampu isyarat berdekatan Taman Melur di sini.

Seorang peniaga makanan, Ahmad Sawal Abu Bakar berkata, tanpa mahu menafikan kegigihan dan usaha penjaja di lampu isyarat, dia lebih memikirkan bahaya yang menanti penjaja tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, lebih menjejaskan apabila penjaja-penjaja tersebut tidak mempunyai lesen.

“Di sebalik kegigihan mereka dan rajin, aktiviti penjaja yang menjual jeruk mangga kepada pengguna kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ini berbahaya.

“Perbuatan mereka juga salah dari segi undang-undang perbandaran, jadi, saya harap pihak yang berkenaan dapat memantau kegiatan mereka ini yang membahayakan.

“Kehadiran mereka ini juga menjejaskan pendapatan kami sebagai peniaga berlesen,” katanya.

Ahmad Sawal juga menyatakan rasa hairan kerana kegiatan itu seperti tidak diambil peduli oleh pihak yang berkenaan.

Katanya, ini kerana lokasi penjaga tersebut menjaga berdekatan dengan bangunan agensi kerajaan.

“Kalau nak berniaga, kenalah ikut undang-undang, tidak boleh sewenang-wenangnya di tempat yang tidak sepatutnya.

“Kegiatan mereka ini jelas melanggar undang-undang dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain kerana boleh mengakibatkan kemalangan apabila berlaku pertukaran warna lampu isyarat.

“Kita faham, penjaja ini terdiri daripada mereka terkesan akibat kehilangan pekerjaan sewaktu Covid-19. Ini antara usaha mereka untuk bangkit tetapi perniagaan kami turut terjejas.

“Kami yang berniaga bertahun-tahun di gerai Taman Ros dikenakan lesen perniagaan tapi mereka orang luar berniaga tanpa lesen di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya