Penduduk main peranan cantikkan tebing sungai - Utusan Malaysia

Penduduk main peranan cantikkan tebing sungai

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (depan) berkenan berangkat menghadiri sesi kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena sambutan hari tindakan sungai sedunia di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Selain pihak berkuasa, penduduk setempat juga haruslah memainkan peranan dengan turut mengambil tanggungjawab mencantikkan tebing-tebing sungai di kawasan masing-masing.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif tersebut penting bagi membuatkan orang lain berasa malu atau segan untuk mencemari sungai.

Pada masa sama, titah baginda, sebarang air sisa buangan, air basuhan serta air kumbahan perlulah dirawat dahulu dan mengguna pakai sistem rawatan yang baik sebelum dialirkan ke sungai.

“Di mana ini merupakan tanggungjawab yang amat besar oleh pihak berkuasa dalam memantau sebarang aktiviti tidak elok yang membuang air sisa tertentu tanpa dirawat hingga boleh menyebabkan pencemaran tidak sihat terhadap sungai dan hidupan sungai,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri sesi kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena sambutan hari tindakan sungai sedunia yang diadakan pada 14 Mac setiap tahun di sini hari ini.

Sempena program tersebut, baginda turut menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700, beras serta bekalan makanan mentah kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar Kampung Utan Aji di sini.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan singgah merasmikan projek memproses ayam diusahakan oleh seorang asnaf, Kefli Saidin di Jalan Kolam Kampung Surau. 

Kefli menerima peruntukan inisiatif peningkatan sosio ekonomi asnaf bernilai RM3,600 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi membeli peralatan serta mesin memproses ayam untuk terus menjayakan perniagaannya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN