JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang memuktamadkan pemilihan teknologi satelit yang akan digunakan bagi menambah baik sistem komunikasi negara khususnya berdepan situasi bencana seperti banjir.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penggunaan satelit berteknologi tinggi itu dilihat dapat membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta agensi berkaitan ketika negara berdepan bencana.
Beliau berkata, setakat ini, ada beberapa syarikat dari luar negara telah mengemukakan cadangan tawaran teknologi masing-masing dan pihak kementerian akan membuat penilaian secara terperinci termasuk soal kos perkhidmatan.
“Ini usaha yang kita buat supaya kita dapat kawal, kita tahu banjir akan berlaku di mana kedalamannya dan memberi amaran awal dengan menggunakan teknologi terkini. Diharapkan rakyat dapat bersabar kerana peruntukan negara juga tidak banyak setelah dibelanjakan untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memandangkan peruntukan kita yang terhad, kita sedang berbincang bagi mendapatkan teknologi tercanggih dengan bayaran agak minimum atau bayar kemudian,” katanya selepas melawat Pusat Operasi Bernama di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai sistem amaran awal bencana susulan banjir kilat yang dilaporkan melanda beberapa kawasan di sekitar ibu negara selepas hujan lebat semalam.
Hujan lebat yang berlarutan sejak pukul 3 petang menyebabkan beberapa jalan utama mula dinaiki air antaranya Jalan Kuchai Lama dan Sungai Besi sehingga beberapa kenderaan dilihat ditenggelami air di tengah-tengah jalan serta menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.
Zahidi berkata, penggunaan teknologi satelit termasuk satelit rangkaian 5G turut dapat membantu dalam pengurusan situasi bencana alam seperti menghantar amaran awal kepada orang awam.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu capaian jaringan internet juga menjadi keutamaan kementerian dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat di segenap sudut di negara ini.
Jelasnya, sekiranya pihaknya menggunakan prosedur biasa dengan membangunkan menara telekomunikasi dan mẹmbuat sambungan, ia akan memakan masa yang lama.
“Kadang-kadang, rakyat tengok sesetengah tempat capaian internet tak bagus, ia bukan kerana kerajaan lambat bertindak, namun, berdepan isu peruntukan.
“Sekarang ini, kita guna berbilion ringgit untuk kita bagi capaian jaringan internet ke seluruh negara secepat mungkin, begitu juga nak beri perkhidmatan dengan kadar yang murah kepada rakyat,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










