PBT tempatkan peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan - Utusan Malaysia

PBT tempatkan peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan

NG SZE HAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan menempatkan peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan dalam usaha membantu golongan ini mencari rezeki pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, selain itu, bagi penjaja yang tidak terlibat dengan aktiviti bazar Ramadan pula, mereka masih boleh meneruskan perniagaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan waktu operasi yang ditetapkan.

“Terdapat 241 lokasi melibatkan 12,578 petak ditawarkan di sekitar Selangor sebagai bazar Ramadan tahun ini bagi meningkatkan peluang penjaja-penjaja untuk mencari rezeki khususnya dalam keadaan pasca pandemik Covid-19.

“PBT juga telah menjalankan beberapa inisiatif seperti menggiatkan promosi tawaran tapak kepada peniaga, menempatkan peniaga-peniaga tanpa lesen di petak kosong bazar Ramadan dan menggalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai di bazar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menjawab pertanyaan lisan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi mengenai indikator yang akan digunakan bagi memastikan penjaja dapat mencari rezeki memandangkan PBT akan membuka bazar Ramadan pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Annex, di sini hari ini. 

Sementara itu, Sze Han ketika menjawab soalan tambahan ADUN Balakong, Wong Siew Ki mengenai penyediaan tong kitar semula minyak masak di bazar Ramadan memberitahu, ia akan dimulakan di 30 lokasi terpilih.

“Kerajaan negeri menggalakkan peniaga bazar Ramadan untuk kitar semula minyak masak terpakai dan PBT seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil inisiatif untuk meletakkan tong kitar semula untuk minyak masak terpakai di lokasi terpilih.

“Sebenarnya ada syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menawarkan inisiatif ini kepada kerajaan negeri dan sebagai permulaan, kita berhasrat untuk bermula sekurang-kurangnya di 30 lokasi untuk meletakkan tong kitar semula minyak masak terpakai,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN