[PARLIMEN]: Pembangkang tuntut penjelasan isu Azam Baki - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Pembangkang tuntut penjelasan isu Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menuntut supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk menghadiri Persidangan Dewan Rakyat.

Malah, suasana Dewan Rakyat menjadi riuh selepas Ramkarpal Singh [Bukit Gelugor-PH] berkata Azhar Azizan perlu menunjukkan ketegasan dalam memastikan Azam menghadiri persidangan Parlimen bagi menjawab tentang isu pemilikan sahamnya.

“Dalam seksyen 16, sekiranya dewan ini tidak memberikan kesan dengan seksyen tersebut, maka, ini adalah Parlimen yang kurang berfungsi. Saksi-saksi telah hadir untuk beri penjelasan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tetapi mengapa Azam Baki istimewa?

“Kita meminta tindakan tegas oleh Speaker. Kita tidak boleh membenarkan Azam mempermainkan dewan ini. Kenapa kita benarkan beliau terlepas?

“Saya menuntut speaker untuk membuat keputusan untuk mengarahkan Azam hadir ke Parlimen selaras dengan Seksyen 16 untuk menunjukkan Tuan Speaker serius dalam isu ini,” katanya.

Seksyen 16 bagi Akta Majlis Parlimen memperuntukkan majlis dan mana-mana jawatan kuasa yang diberi kuasa sewajarnya dengan perintah Majlis untuk memanggil orang-orang, dokumen, atau kertas, boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapan Majlis atau di hadapan jawatankuasa itu, dan mengemukakan apa-apa kertas, buku, rekod, atau dokumen dalam milikan atau di bawah kawalan orang itu.

Sementara itu, Seksyen 17 memperuntukkan apa-apa perintah untuk hadir atau untuk mengemukakan dokumen di hadapan Majlis atau di hadapan mana-mana Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 13 jawatankuasa, hendaklah diberitahu kepada orang yang dikehendaki hadir atau kemukakan dokumen itu, melalui saman, di bawah tandatangan Setiausaha yang dikeluarkan dengan arahan Yang Dipertua.

Turut membangkitkan persoalan itu adalah Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) yang telah meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat menjelaskan sama ada beliau akan menggunakan bidang kuasa beliau untuk memanggil Azam.

“Kita memberikan surat jemputan dan bukannya sapina. Seksyen 16 dan 17 tentang Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, memang jawatankuasa ada hak memanggil Azam datang ke Parlimen untuk memberi penjelasan.

“Saya minta penjelasan daripada Speaker, adakah Speaker bersetuju dengan kenyataan Azam yang enggan datang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas sebab untuk makluman Speaker pada Disember 2020, Azam pernah hadir di mesyuarat PAC tetapi kenapa kali ini apabila melibatkan isu pemilikan saham, beliau takut untuk datang.

“Ini adalah satu tindakan yang menghina Parlimen. Kita perlu pertahankan kedaulatan undang-undang dan kita perlu menjaga kedudukan Parlimen Malaysia,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya