KUALA LUMPUR: “Apakah pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) tentang polisi sifar penolakan?”
Demikian persoalan yang dibangkitkan dalam persidangan di Dewan Rakyat oleh Teo Nie Ching yang berkata badan bukan kerajaan (NGO) menganggarkan seramai 300,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan dalam Malaysia.
“Di bawah Pakatan Harapan (PH), kita laksana polisi sifar penolakan pada tahun 2018 supaya golongan ini berhak mendapat pendidikan yang berkualiti.
“Seperti yang disebut, polisi yang bagus perlulah diteruskan oleh kerajaan sekarang. Jangan menyusahkan kanak-kanak kita. Kita perlu mudahkan prosedur dan tidak merumitkan sehingga menyusahkan kanak-kanak yang tidak berdosa ini.
“Menurut NGO, 300,000 orang kanak-kanak kini tanpa kerakyatan atau tanpa dokumen yang tidak bersekolah di Malaysia,” jelasnya dalam sesi perbahasan usul Titah Diraja dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Nie Ching terus mempertikai ketetapan KPM dalam menguruskan isu kerakyatan kanak-kanak selepas mendakwa KPM kini lebih memberi fokus pada isu teknikal atau dokumentasi.
“Beliau adalah menteri kanan pendidikan dan bukannya menteri biasa tetapi tidak mendengar atau mengambil berat mengenai hal ini. Selepas Langkah Sheraton, saya menerima lebih banyak aduan daripada kanak-kanak tanpa kerakyatan ini.
“Sekarang mereka diminta untuk kemukakan passport untuk sambung belajar. Mereka dipanggil kanak-kanak tanpa kerakyatan jadi bagaimana mereka hendak menunjuk passport. Isu ini sangat mudah tapi menteri gagal untuk faham.
“Pendidikan adalah hak asasi dan KPM harus menjadi juara untuk perjuang hak pendidikan untuk semua tapi kalau KPM sendiri tidak pertahankan hak ini, siapa akan menjadi suara untuk murid-murid kita. KPM sekarang lebih tertumpu pada isu dokumen atau teknikal tetapi bukan pengajian kanak-kanak,” katanya. –UTUSAN ONLINE