MyCV mohon maaf susulan 'aksi joget' program Riuh Ek - Utusan Malaysia

MyCV mohon maaf susulan ‘aksi joget’ program Riuh Ek

TANGKAP layar sebuah video yang memaparkan konsert dikunjungi sekumpulan individu tanpa pematuhan SOP di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCV) memohon maaf di atas insiden kegagalan prosedur operasi standard (SOP) pada program ‘Riuh Ek’ di Ayer Hitam, Johor baru-baru ini. 

MyCV yang juga salah sebuah agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata, pihaknya akan memastikan insiden berkenaan tidak akan berulang pada masa hadapan. 

Menurutnya, pihak polis telah pun menghubungi dan mengambil keterangan mengenai insiden itu dan kerjasama penuh telah diberikan bagi membantu melancarkan siasatan.

“MyCV menyerahkan kepada pihak polis bagi menentukan hasil siasatan. MyCV juga mengambil berat isu keselamatan dan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam semua acara,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Mengulas mengenai insiden itu, MyCV berkata, pihaknya sudah memberi arahan jelas kepada syarikat pengurus acara agar SOP dipatuhi sepenuhnya demi memastikan keselamatan dan kesihatan pengunjung. 

“Pada malam itu, insiden tersebut berlaku secara spontan oleh pengunjung dan bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur. 

“Bagaimanapun pihak penganjur bersama pasukan RELA telah mengambil tindakan segera dengan meleraikan mereka yang terlibat dan meminta mereka beredar dengan serta-merta agar SOP dipatuhi,” katanya. 

Katanya, insiden tersebut juga berlaku selepas majlis telah berakhir dan menteri telah meninggalkan majlis.

Jelasnya lagi, MyCV juga telah mengarahkan syarikat pengurus acara untuk mengambil langkah yang lebih ketat bagi Kembara RIUH di masa hadapan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN