KEPALA BATAS: “Masa jadi (ribut kuat) tengah malam tu, macam-macam kami pikiaq (fikir). Tak nampak apa dah masa tu. Nampak ayaq (air) saja keliling (bot).”
Itu kata seorang nelayan, Afzanizul Zakaria, 44, atau mesra disapa sebagai Mat Jun yang dilaporkan hilang bersama dua lagi rakannya sejak awal pagi kelmarin.
Menurut Mat Jun, mereka bertiga bertolak dari jeti Pangkalan Sungai Tembus, Penaga di sini kira-kira pukul 5 pagi dan bersiap-siap hendak pulang seperti biasa sekitar waktu tengah hari pada hari sama selepas selesai kerja-kerja memukat dan menangkap ikan.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu juga bot yang mereka naiki secara tiba-tiba kehabisan minyak.
Lebih malang, tambahnya, stok makanan dalam bot itu juga hampir kehabisan pada waktu berkenaan.
“Kebetulan pula ada ribut tengah laut malam tu (kelmarin) dan kami cuma ada ayaq (air) botol dan bekalan rokok sahaja (untuk bertahan).
“Mujurlah, ada bot lain yang ternampak situasi kami selepas itu dan mereka juga banyak membantu melancarkan urusan kami sehingga kami balik (pulang ke jeti di Penaga),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selain Afzanizul, dua lagi nelayan yang turut dilaporkan hilang dalam kejadian itu ialah Muhammad Firdaus Shamsudin, 34, dan Rosidi Saad, 44.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memaklumkan, kerja-kerja mencari dan menyelamat dengan bantuan Unit Udara jabatan itu sejak semalam ditamatkan selepas mereka menerima maklumat ketiga-tiga mangsa telah dijumpai kira-kira pukul 9.30 pagi semalam oleh nelayan berhampiran Pulau Bidan, Kedah.
Difahamkan, selepas diselamatkan oleh nelayan di situ, ketiga-tiga mangsa kemudian diberikan makanan dan rehat yang secukupnya sebelum dibenarkan untuk bertolak pulang ke jeti Pangkalan Nelayan, Sungai Tembus di sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Sementara itu, jeti tersebut turut dipenuhi dengan orang ramai termasuk keluarga serta kenalan mangsa yang menunggu di situ sejak awal pagi untuk mengetahui perkembangan kerja-kerja mencari dan menyelamat tersebut.
Rata-rata mereka bersyukur kerana ketiga-tiga nelayan berkenaan pulang dalam keadaan yang selamat walaupun hilang hampir tiga hari di lautan sebelum ini. –UTUSAN ONLINE










