Megatron, Bumblebee iring murid ke sekolah - Utusan Malaysia

Megatron, Bumblebee iring murid ke sekolah

MURID-MURID teruja bergambar dengan Megatron dan Bumblebee pada hari pertama seso persekolahan di SK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, di sini riuh-rendah apabila orang ramai dikejutkan dengan kehadiran dua robot gergasi dari filem Transfomers pagi ini.

Robot terbabit, Megatron dan Bumblebee tiba seawal 6.45 pagi sebagai ‘pengawal peribadi’ Ilya Irdina Ainsyah Ahmad Hamizan, 7, yang pertama kali menjejak kaki ke sekolah itu sebagai murid tahun satu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibunya, Wan Nurul Hafida Nawi, 35, berkata, kedua-dua robot terbabit merupakan kostum yang dihasilkan suaminya, Ahmad Hamizan Ripin, 29, dan dipakai oleh dua pekerja mereka.

Katanya, Ahmad Hamizan merupakan pengasas CRS Cosplay dan memiliki lebih 50 kostum adiwira yang menawarkan perkhidmatan menghiburkan tetamu dalam pelbagai majlis seperti sambutan hari jadi dan perkahwinan.

“Hari ini, saya membawa dua robot dipakai bekas murid SK CHerang Ruku sendiri iaitu Hisyam Abdullah, 21, sebagai Bumblebee manakala Abdul Rahim Md. Yusof, 22, sebagai Megatron untuk memberi semangat anak sulung saya untuk ke sekolah.

“Dalam masa sama, kami juga mahu menaikkan semangat murid lain serta memberi sokongan kepada warga SK Cherang Ruku dengan kempen #SelamatDalamEndemik yang dirancang sejak dua minggu sebelum sesi persekolahan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kata Wan Nurul Hafida lagi, suaminya yang juga bekas murid sekolah itu berhasrat memakai sendiri kostum berkenaan namun terpaksa mencari orang lain menggantikannya kerana perlu menguruskan tempahan perkhidmatan sama di enam sekolah lain serentak hari ini.

“Lazimnya setiap penampilan watak adiwira dikenakan caj sewaan sehingga RM150 sejam namun kali ini mereka tampil percuma di SK Cherang Ruku sebagai sebahagian daripada khidmat sosial CRS Cosplay,” katanya.

Kehadiran Megatron dan Bumblebee dilihat berjaya memeriahkan pekarangan SK Cherang Ruku apabila murid dan ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bergilir-gilir merakam gambar dan video kenangan.

Bagi mematuhi peraturan ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan dan prosedur operasi standard (SOP), kedua-dua robot berkenaan bagaimanapun hanya beraksi di hadapan pintu pagar sekolah dan muncul selama kira-kira sejam. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.