Maskot arnab tunggu depan pagar sambut murid sekolah - Utusan Malaysia

Maskot arnab tunggu depan pagar sambut murid sekolah

Maskot arnab menyambut ketibaan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Maskot arnab menyambut ketibaan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) di sini yang memulakan sesi persekolahan penggal 2022/2023 pada hari ini.  

Penggunaan maskot arnab tersebut adalah salah satu cara yang dilakukan pihak sekolah bagi menarik minat murid tahun satu selain usaha memujuk memandangkan ini hari pertama mereka bersekolah. 

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, seawal pukul 7 pagi, murid tahun satu tiba di sekolah tersebut dihantar ibu bapa masing-masing di luar pagar sekolah. 

Berikutan negara masih lagi pandemik Covid-19, mereka tidak dibenarkan menghantar anak hingga ke kelas berbanding permulaan sesi persekolahan sebelum pandemik Covid-19. 

Dalam masa sama, tinjauan di sekolah kedua iaitu SK Putrajaya Presint 11(2) juga mendapati, ibu bapa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sama iaitu tidak dibenarkan masuk melepasi pagar sekolah. 

Bapa kepada murid tahun satu, Syukor Hashim, 48, berkata, ibu bapa memahami SOP yang ditetapkan selain menyifatkan, pembukaan sekolah adalah langkah yang baik untuk murid.

“Saya merasakan pembelajaran secara bersemuka lebih baik kerana anak akan lebih fokus kepada pembelajaran dan pengajaran. Hari ini ibu bapa tidak boleh masuk ke kawasan sekolah serta dihadkan sehingga di luar pagar. 

“Jadi, harapan kepada guru sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dalam memastikan mereka sentiasa patuh SOP. Beri motivasi dan semangat kepada murid sebab ini pertama kali kelas bersemuka secara penuh diadakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.   

  Seorang ibu murid tahun satu dikenali sebagai Nur Kamizatul, 42, berkata, memandangkan tidak boleh menghantar anak hingga ke kelas seperti sebelum ini, dia turut mengingatkan anak-anak supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 

“Selain tahun satu, dua lagi anak saya di tahun dua dan tiga. Kita beri maklumat awal kepada anak-anak, apa perlu dibuat dan ikut arahan cikgu. Beri semangat kepada dia nak elakkan dia menangis. 

“Anak saya pernah bersekolah dari awal di tadika, jadi tak ada masalah. Kita juga berharap kumpulan aplikasi WhatsApp banyak membantu dari segi pengurusan makanan, pembelajaran dan pendedahan persekitaran sekolah kerana kita bergantung 100 peratus kepada guru,” katanya. 

Ditanya mengenai keadaan anak tahun satu, dia berkata, anaknya tidak menghadapi sebarang masalah dan abangnya akan membantu jika diperlukan. 

“Sebelum pandemik, ibu bapa boleh menemani anak pada waktu rehat dan peralihan kelas juga membantu. Takut dia tak boleh berdikari tapi alhamdulillah, anak saya boleh terima dan harapkan bantuan abang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN