SEPANG: Kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Koperasi Kariah Masjid dalam masa terdekat untuk memperkasakan lagi gerakan koperasi yang melibatkan masyarakat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, majlis itu bakal membentuk dasar, rancangan dan inisiatif berkaitan pembangunan koperasi berkenaan yang akan dianggotai bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kementerian berkaitan dan pihak berkuasa agama peringkat negeri.
“Insya-Allah, kita memang bersedia untuk mewujudkan majlis konsultasi tersebut yang akan dapat bertukar idea bernas ke arah menjayakan sasaran banyak koperasi kariah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutup Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Movenpick KLIA, di sini hari ini.
Pada ketika ini, hanya terdapat 462 buah koperasi kariah masjid telah didaftarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan melibatkan keahlian sekitar 38,000 anggota dan jumlah aset melebihi RM29 juta.
“Kita harus sedar koperasi kariah masjid main peranan besar dalam memenuhi isu keperluan ummah kepada produk halalan toyyiban yang masih banyak peluang belum diisi,” katanya sambil memberi contoh bekalan lembu korban setiap kali Hari Raya Aidiladha yang ditampung penternak bukan Islam sedangkan potensi itu sepatutnya diteroka koperasi kariah masjid.
Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak masjid di negara ini yang belum lagi menubuhkan koperasi kariah untuk tidak melepaskan peluang itu sebagai agenda tuntutan fardu kifayah.
Pada masa sama, ujarnya, pewujudan koperasi kariah masjid mampu membuka banyak ruang perniagaan bagi komuniti setempat selain menjana pekerjaan kepada belia yang menganggur.
Kerajaan juga kata beliau, telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong penubuhan koperasi kariah selaras visi Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) 2021-2025 termasuk bantuan pembangunan khas sehingga RM100,000 dan program pembangunan perniagaan sehingga RM300,000 selain kemudahan tabung modal pusingan.
Transkom juga, katanya, menawarkan program pemerkasaan rantaian bekalan untuk koperasi menceburi aktiviti borong dan runcit dengan bantuan boleh dimohon sehingga RM300,000. –UTUSAN ONLINE