GOPENG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan untuk membantu 750 usahawan muda melalui pembiayaan Geran Agropreneur Muda (GAM) pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan RM15 juta disediakan di mana penerima mendapat bantuan dalam bentuk barangan sehingga RM20,000.
Katanya, bantuan tersebut mampu meningkatkan produktiviti sekali gus menambah pendapatan golongan berkenaan.
“Bantuan ini juga dapat membantu mereka mengurangkan kos permulaan dan pengembangan projek-projek pertanian serta agro makanan.
“Sejak 2016 hingga tahun lalu, MAFI telah meluluskan bantuan GAM kepada 7,699 usahawan di seluruh negara membabitkan pembiayaan bernilai RM137.71 juta.
“Di Perak sendiri, seramai 976 usahawan muda menerima bantuan sama berjumlah RM13.57 juta,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kamal Badrin Hassan.
Sementara itu, Ahmad berkata, program JAM berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi usahawan dalam sektor pertanian.
Menurutnya, program yang berlangsung selama dua hari itu juga bagi membantu serta menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor agro makanan merangkumi bidang di sepanjang rantaian nilai seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.
“Program ini juga bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perniagaan dan pembiayaan usahawan di mana MAFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya turut dilibatkan bagi membantu usahawan secara terus.
“Malah, menerusi program ini, ia dapat menyelesaikan pelbagai perkara yang tertangguh terutama mengenai pelan perniagaan dan pembiayaan,” katanya. – UTUSAN










