Lebih RM1.3 bilion dana awam gagal diurus dengan baik - Utusan Malaysia

Lebih RM1.3 bilion dana awam gagal diurus dengan baik

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) antara yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 tentang agensi terlibat dengan isu pembayaran tidak teratur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 memaklumkan ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan berlaku isu pembayaran tidak teratur berjumlah RM1.299 bilion, kerugian dana awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan.

Antara agensi yang terlibat dengan isu pembayaran tidak teratur adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung caruman kerajaan tidak dipulangkan kepada Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM695.06 juta serta bayaran dividen tahun 2018 hingga 2020 berjumlah RM600.59 juta menggunakan dividen atas caruman kerajaan tidak mematuhi Akta 101.

Selain itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) didapati menawarkan Skim Subsidi Diesel dan Petrol berjumlah RM2.12 juta kepada pemilik vesel yang tidak mengisytiharkan hasil tangkapan ikan; bayaran RM0.02 juta Elaun Sara Hidup Nelayan kepada nelayan yang telah meninggal dunia dan bayaran Insentif Pendaratan Ikan berjumlah RM0.02 juta kepada nelayan yang telah meninggal dunia.

Bagi kerugian wang awam berjumlah RM11.45 juta melibatkan banyak pihak antaranya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sewa tertunggak sehingga 31 Disember 2020 berjumlah RM1.79 juta; cukai tanah dan insurans belum dikutip berjumlah RM0.19 juta.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pula terlibat dengan pembaziran berjumlah RM8.87 juta disebabkan Projek Agriculture Intelligence System Fasa 1 tidak digunakan sepenuhnya sejak bulan November 2020.

Selain itu, terdapat satu kes melibatkan kehilangan atau kerugian wang awam bernilai RM44.52 juta melibatkan program Aktiviti Kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat.

Ia melibatkan tunggakan cukai oleh 5,903 orang ekspatriat yang telah keluar daripada Malaysia sehingga 31 Disember 2020.

Dalam pada itu, terdapat juga satu kes pembaziran bernilai RM16.77 juta melibatkan Pengurusan Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu.

Perkara ini berkaitan peralatan fotovolta bernilai RM16.77 juta bagi 1,285 peserta yang tidak dapat dipasang, masuh belum atau tidak dapat digunakan dan disimpan di stor sejak bulan Disember 2018.

Satu lagi kes pemborosan bernilai RM2.81 juta melibatkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan KTMB yang melibatkan alat ganti yang telah dibekalkan tetapi tidak digunakan secara optimum.

Laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat bagi edisi Tahun 2020 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2020.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, setakat 31 Disember 2021, sebanyak 140 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara, manakala tujuh penyata kewangan dalam proses pengauditan.

“Sebanyak 109 penyata kewangan sudah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, 14 penyata kewangan diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara, dan 17 penyata kewangan diberikan Pendapat Berteguran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, sebanyak 10 pengauditan prestasi bernilai RM39.719 bilion telah dilaksanakan di lapan jabatan, tiga syarikat milik kerajaan dan empat badan berkanun Persekutuan dan agensi bawah tujuh kementerian.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, enam pengauditan membabitkan kategori program dan aktiviti, tiga kategori projek serta satu lagi sistem ICT, manakala secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program Kerajaan Persekutuan adalah mengikut objektif ditetapkan.

“Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan pencapaian keberhasilan yang ditetapkan, tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN