SEREMBAN: Laporan bedah siasat mayat seorang wanita yang dijumpai dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban Kuala Pilah di sini, Ahad lalu dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan punca kematian mangsa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa telah meninggal dunia antara empat ke lima hari dan identitinya sukar dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.
“Keputusan bedah siasat dilakukan masih tidak dapat mengesan punca kematian.
“Spesimen mayat terbabit telah pun dihantar ke Jabatan Kimia dan laporan penuh bedah siasat hanya akan dikeluarkan selepas Jabatan Kimia menyiapkan analisis forensik,” katanya hari ini.
Menurut Nanda, bagaimanapun, setakat ini, polis juga tidak menerima sebarang laporan kes orang hilang.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, mayat wanita tanpa identiti ditemukan di dalam gaung dalam di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus dekat sini, Ahad lalu.
Kira-kira pukul 11.15 pagi, Pejabat Pertanyaan Balai Polis Paroi menerima panggilan telefon dari Balai Polis Terachi yang menerima makluman terdapat penemuan mayat di lokasi tersebut.
Anggota renjer yang bertugas di kaunter Pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul Kuala Pilah menyatakan telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 50-an pada pukul 10.50 pagi mengatakan semasa sedang berjoging dan ingin mengambil gambar telah menjumpai mayat perempuan dalam keadaan tertiarap.
Kejadian berlaku di tepi Jalan Lama Bukit Putus Paroi di mana mayat dijumpai dalam gaung bawah jambatan, tempat kejadian jauh dari kawasan perumahan dan sunyi. –UTUSAN ONLINE