PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan bagi menyelesaikan segala konflik yang tercetus antara parti-parti kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selama ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, perkara itu dibuktikan menerusi perang mulut antara kedua-dua belah pihak sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, jika dibiarkan berterusan, kemungkinan besar kerajaan akan berdepan krisis ketidakstabilan sekali lagi.
“Selepas PRN Johor, pastinya akan ada desakan atau usul bagi mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen lebih awal memandangkan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang akan berakhir Julai ini.
“Dalam PRN Johor ini, jelas Muafakat Nasional (MN) akan terkubur, boleh nampak perseteruan yang nyata antara UMNO, Bersatu dan Pas. Mereka serang menyerang, Pas pun sudah memilih Bersatu sebagai sekutu.
“Bersatu pernah mengancam untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri sebelum ini. Jika kerajaan jatuh, dalam tempoh Julai ini dilihat sebagai tempoh munasabah untuk mengadakan PRU-15 lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahari menyifatkan PRU-15 dapat menghentikan kemelut politik yang melanda negara sejak 2020.
“Kita perlu mengikut kehendak rakyat, kehendak majoriti ahli Parlimen serta parti-parti jika ada desakan. Namun, perkara ini perlu mengikut pertimbangan Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
“Ada pro dan kontranya, Covid-19 masih lagi aktif tetapi pengundi sudah bosan dengan kerenah-kerenah politik. Kalau sekali harung buat PRU, selesai masalah,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO mempunyai agenda tersendiri ketika menyokong pembentukan kerajaan campuran antara BN dan PN.
Pas turut menyerang UMNO dengan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa Johor kurang kesedaran politik Islam, selain Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura maju kerana tiada UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanya menganggap dakwaan-dakwaan tersebut sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan BN. – UTUSAN










