Kes Azam Baki turut dipantau dua panel bebas

Kes Azam Baki turut dipantau dua panel bebas

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki turut dipantau oleh dua panel bebas. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dua panel tersebut adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) serta Jawatankuasa Aduan (JKA) sebagai langkah semak dan imbang.

Katanya, kedua-duanya merupakan antara lima panel bebas yang menjalankan pemantauan terhadap SPRM sejak 2009, di samping Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Panel Penilaian Operasi (PPO), serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

“Setiap jawatankuasa ini mempunyai terma serta rujukan masing-masing yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap penunaian fungsi suruhanjaya itu, selain daripada siasatan pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes Tan Sri Azam Baki juga dibincangkan dalam mesyuarat LPPR dan JKA yang mempunyai kuasa untuk memantau dan memberi pandangan serta cadangan mengenai siasatan dijalankan,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahuddin Ayob (PH-Pulai) sama ada menteri atau penjawat awam boleh dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung isu rasuah dan salah laku. 

PEMILIKAN SAHAM

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, laporan mengenai Azam sudah diperoleh, manakala siasatan berkenaan peraturan dan undang-undang pemilikan saham juga telah dijalankan oleh SC.

“Siasatan telah selesai dan SC mendapati tiada kesalahan dibuat berkenaan saham yang dilaporkan ke atas beliau pada 2015 dan 2016, berdasarkan semua dokumen ketika siasatan. Begitu juga difahamkan PDRM sedang menjalankan siasatan sebagaimana jawapan diberikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu,” katanya.

Dalam pada itu, melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, Mas Ermieyati berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi pemantapan governan, integriti dan antirasuah dalam urusan pentadbiran kerajaan bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan pentadbiran kerajaan termasuklah meningkatkan kewibawaan SPRM.

“Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menambah baik fungsi perundangan melibatkan bidang kuasa SPRM termasuk beberapa peruntukan baharu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

“SPRM menerusi pelan NACP 2019-2023 ini menerajui 11 inisiatif serta menjadi agensi sokongan (supporting rule) bagi 22 inisiatif lain dalam pelan tersebut termasuklah inisiatif untuk memperkasakan SPRM.

“Dalam memperkukuhkan agensi penguatkuasaan undang-undang, NACP 2019-2023 telah menggariskan inisiatif untuk memperkasakan SPRM khususnya dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan tenaga kerja,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya