Keluarga angkat cari wanita Indonesia hilangkan diri selepas serah anak - Utusan Malaysia

Keluarga angkat cari wanita Indonesia hilangkan diri selepas serah anak

ZATIL AQMAR Zabudin dan suami, Mohd. Razali Che Ngah bersama anak angkat mereka yang diberi nama Adam Faiz di kediaman mereka di Taman Temerloh Makmur di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Orang ramai diminta membantu mengesan ibu kandung kepada bayi lelaki yang kini dalam jagaan sepasang suami isteri bagi memudahkan urusan pendaftaran sebagai anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Berdasarkan Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak, wanita warga Indonesia tersebut hanya dikenali sebagai Fithiani dan suami, Bambang dari Lombok menyerahkan bayi lelaki kepada pasangan berkenaan pada 1 Januari lalu. 

Ibu angkat kanak-kanak itu, Zatil Aqmar Zabudin, 33, berkata, anak angkatnya yang diberi nama Adam Faiz dan kini berusia lebih dua bulan dilahirkan pada 30 Disember tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini. 

Menurutnya, pasangan warga Indonesia itu menghantar sendiri bayi mereka kepadanya pada 1 Januari lalu setelah mengetahui dia dan suami mahu mengambil anak angkat melalui kumpulan WhatsApp Taman Temerloh Makmur.

Tambah beliau, pasangan itu memberikan alasan tidak mampu untuk membiayai bayaran bil hospital yang menjangkau hampir RM4,000 dan sedang kesempitan wang berikutan rumah sewa mereka di Karak, Bentong ditenggelami banjir.

“Setelah saya membayar bil hospital, pasangan warga Indonesia itu menghilangkan diri tidak dapat dihubungi, rumah sewanya di Karak dikosongkan serta mematikan talian telefon.

“Saya sudah sembilan tahun berkahwin dengan suami Mohd. Razali Che Ngah, 37, namun, belum dikurniakan cahaya mata. Kehadiran bayi lelaki ini ibarat bulan jatuh ke riba yang ditunggu-tunggu sekian lama,” katanya di sini hari ini. 

Zatil Aqmar berkata, kehadiran ibu bayi itu penting bagi tujuan pendaftaran anak angkat yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai dokumentasi lengkap demi masa depannya.

“Kami sudah menguruskan segala keperluan untuk tujuan itu di JPN termasuk suntikan pelalian. Namun, usaha mengesan ibu kandung kepada bayi itu masih buntu,” katanya. 

Sesiapa yang mengenali Fathiani atau Bambang dan tahu di mana mereka berada diminta menghubungi Zatil Aqmar di talian 0179608193. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN