SEREMBAN: Keputusan kerajaan yang bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 sesuatu yang sangat dinanti-nantikan orang ramai terutama dalam persediaan memasuki fasa endemik.
Bagi seorang pekerja swasta, Abnor Hamizam Abd. Manap, 48, dia amat bersetuju dengan keputusan kerajaan tersebut dan akan turut mengambil peluang itu untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP dimilikinya.
“Saya akan gunakan wang itu nanti bagi tujuan menampung perbelanjaan pengajian dan persekolahan tiga orang anak saya. Itu yang lebih mustahak ketika ini ketika sesi persekolahan semakin hampir.
“Ada yang kata mereka akan gunakan untuk persiapan hari raya tapi bagi saya, tidak kisah sangat kerana sudah dua tahun tidak menyambutnya dengan meriah, sudah biasa ala kadar sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagi seorang lagi pekerja swasta, Syed Ridwan Syed Othman, 37, dia juga akan mengeluarkan simpanan KWSP bagi menyelesaikan hutang pinjaman yang dimilikinya.
“Terima kasih Perdana Menteri kerana mendengar desakan dan memahami keperluan rakyat. Ramai yang berdepan kesulitan ketika pasca pandemik ini. Saya akan gunakan ia bagi menyelesaikan hutang yang saya ada, tentu sedikit sebanyak dapat meringankan beban komitmen bulanan saya nanti,” katanya.
Bagi peniaga, Muhammad Faisal Ab Wahid, 39, pula, pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 seperti yang diumumkan kerajaan itu dilihat dapat merangsang semula ekonomi rakyat.
“Ramai yang terkesan dari segi kewangan, ada diberhentikan kerja dan menjadi mangsa banjir. Wang ini dapatkan dijadikan modal untuk meneruskan kehidupan selain digunakan untuk persediaan persekolahan anak-anak yang akan dibuka minggu depan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan itu selepas mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak. –UTUSAN ONLINE