Kastam Perak gagalkan cubaan seludup rokok - Utusan Malaysia

Kastam Perak gagalkan cubaan seludup rokok

MOHAMAD Saprin (tiga dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam sidang akhbar di ICQ Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM1.59 juta dalam dua serbuan berasingan di Lenggong dan Kuala Kangsar, Sabtu lalu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Dr. Mohamad Saprin berkata, dalam serbuan Op Benteng Fasa 22 itu, lebih 2.39 juta batang rokok pelbagai jenama telah dirampas.

“Dalam serbuan pertama di hentian rehat dan rehat (R&R) Selat Pagar, Lenggong, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 1.7 juta batang rokok putih disyaki barang larangan kastam dengan anggaran nilai cukai RM1,135,600. Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pada pukul 6 pagi membabitkan rampasan bernilai RM460,620 di R&R Sungai Perak arah Selatan dekat Kuala Kangsar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 690,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan kastam.

“Kesemua eksibit dalam dua serbuan itu dibawa balik ke Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut selain merampas dua buah lori.

“Siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN