MUKADIMAH
KELIBAT penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, KAPTEN (B) NAJIB LEP dalam arena politik Johor bukanlah asing. Dia satu-satunya pemenang kerusi Pas di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tetapi kenapa Najib muncul bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini sebagai calon Bebas? Apa yang tidak kena? Najib meluahkan apa yang terbuku di hatinya kepada wartawan Mingguan Malaysia, NUR ALINA HASSAN semalam.
Kenapa bertanding bebas?
Persoalan yang lebih tepat adalah kenapa Pas Pagoh tolak saya? Tawaran mereka untuk saya bertanding di Simpang Jeram tidak dapat diterima kerana saya rasa keperluan rakyat di sini (Bukit Pasir) mengatasi pihak atasan. Pas Pusat kata buat kajian dan mendapati saya ada peluang untuk menang di Simpang Jeram. Namun saya ragu-ragu kerana tidak terima sebarang bentuk kajian di tangan.
Malah, mereka juga buat justifikasi yang tak tepat apabila kata saya ada masalah komunikasi dan tidak ada jentera untuk menang. Selain kata saya tak perlu bimbang kerana saya ikon Johor yang kalau bertanding di mana pun pasti akan menang. Jujurnya saya bukan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz (Nik Mat) atau Tun Dr. Mahathir (Mohamad) yang kalau hantar di mana pun boleh menang.
Sebab itu tolak keputusan Pas Johor?
Saya bukan berasal dari DUN Simpang Jeram. Kenapa perlu saya kena pergi ke luar? Tetapi, berdasarkan kajian yang saya sendiri buat di Bukit Pasir menunjukkan hampir 90 peratus rakyat di situ mahu saya kekal.
Apa istimewanya Bukit Pasir?
DUN ini ibarat keluarga besar saya sejak mula menang di sini. Saya bersama mereka setiap hari, mustahil nak tinggalkan mereka. Malah, masih ada perkara belum sempat diselesaikan ekoran Covid-19. Ini termasuk banjir besar dan beberapa kekangan lain yang menyebabkan saya mahu kekal untuk selesaikan kerja-kerja kebajikan yang telah dirancang. Sepanjang bergelar ADUN di sini, saya berjaya menambah cawangan Pas di Pagoh di mana sebelum ini hanya ada satu tetapi kini 14 cawangan dengan sembilan daripadanya sudah aktif dan bakinya sedang melalui proses dokumentasi. Susah payah saya hidupkan semua cawangan, tiba-tiba dimaklumkan kena bertanding di tempat lain.
Ada peluang menang semula?
Yakin boleh, masyarakat di sini masih perlukan saya. Saya tak gah di mata orang bendera banyak, tapi dari segi kekuatan secara dalaman saya masih kuat.
Jika menang, adakah rancang untuk sertai mana-mana parti?
Untuk sementara ini biarlah dahulu begini. Tetapi untuk jangka masa panjang, banyak faktor kena ambil kira. Saya juga perlu ada kemudahan yang kukuh dan stabil demi memudahkan rakyat. Bebas pun adakalanya penentu sesebuah kerajaan itu dibentuk. Saya tidak bermusuh dengan sesiapa, saya cuma tegakkan kebenaran dan hak rakyat yang saya bimbing ketika ini. – UTUSAN










