JPS Kelantan adakan dialog dengan mangsa banjir

JPS Kelantan adakan dialog dengan mangsa banjir

SITI Zailah Mohd. Yusoff (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil NGO yang menyokong pelaksanaan Skuad WAJA Peringkat Negeri Kelantan 2022 di, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan mengadakan dialog dengan penduduk di Rantau Panjang yang mendakwa berdepan banjir lebih buruk akibat Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban).

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, pertemuan akan dibuat dalam masa terdekat itu bertujuan memberikan penerangan berhubung pelaksanaan projek PLSB Kesban, di samping mendengar pendapat penduduk.

“Sebagai wakil rakyat dan anak jati Rantau Panjang, saya tidak akan membiarkan rakyat di kawasan ini terus menderita berdepan masalah banjir yang didakwa semakin teruk sejak projek PLSB Kesban dilaksanakan.

PERTEMUAN

“Sebelum ini, kita memang sudah merancang untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk bagi membincangkan isu ini, namun, tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta banjir,” katanya.

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui pemberita selepas merasmikan Program Semarak Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja) Negeri Kelantan 2022, di sini hari ini.

Semalam, lebih 150 mangsa banjir dari beberapa kampung di Rantau Panjang berhimpun mendesak kerajaan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah banjir yang makin teruk dan kerap melanda kediaman mereka.

Dalam perhimpunan aman selama satu jam yang dibuat di tapak PLSB Kesban berhampiran Sungai Lancang, penduduk mencadangkan pihak berkuasa membina lebih banyak pintu air bagi mengatasi masalah tersebut yang didakwa berpunca daripada PLSB Kesban.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, keluhan rakyat sudah diambil maklum oleh kerajaan, malah telah dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Isu tebatan banjir ini sebenarnya masih dalam pembinaan dan belum siap lagi. Mengikut pelan ada empat pintu air yang akan dibina dan untuk makluman, fasa dua projek ini sudahpun dalam proses persediaan dengan peruntukan berjumlah RM465 juta,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya