Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah bernilai RM10 juta bakal dibuka 2025 - Utusan Malaysia

Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah bernilai RM10 juta bakal dibuka 2025

NURUL AMIRA Md. Isa menunjukkan tapak penemuan rangka manusia yang dinamakan 'Penang Woman' di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Sebuah galeri arkeologi yang menempatkan peninggalan artifak dan cebisan rangka tulang manusia berusia lebih 5,000 tahun bakal dibuka di Kampung Guar Perahu, di sini pada 2025.

Kurator Unit Arkeologi Negeri Pulau Pinang, Nurul Amira Md. Isa berkata, buat masa ini galeri sedia ada yang dibina pada 2017 merupakan galeri sementara yang hanya dilengkapi dengan struktur berbumbung separa tetap dan terbuka.

“Galeri arkeologi sementara di Guar Kepah ini melibatkan peruntukan hampir RM2 juta dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kini, pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang baharu sedang dalam proses reka bentuk selepas mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM10 juta tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, di sini baru-baru ini.

Katanya, setelah galeri warisan itu siap dibina, pihaknya akan menempatkan semula hasil penemuan yang pernah ditemukan di tapak arkeologi tersebut yang kini berada di Belanda dan Singapura.

“Semasa proses pembinaan galeri sementara pada 17 April 2017, pekerja yang bertugas ketika itu menjumpai rangka baharu yang dikenali sebagai ‘Penang Women’ di bawah timbunan cengkerang di tapak galeri tersebut menjadikan hasil penemuan rangka manusia yang ke 42, iaitu satu-satunya penemuan oleh orang Malaysia selain Belanda dan Singapura.

“Daripada situ, kita hentikan kerja penggalian dan kerajaan negeri juga ada menyalurkan beberapa peruntukan termasuklah pembinaan bumbung separa kekal yang ada ini, peruntukan kerja evakuasi serta peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan dan kawalan keselamatan,” katanya yang menambah, keluasan kawasan tapak warisan berkenaan adalah sekitar 1.2 hektar.

Nurul Amira menambah, dengan adanya galeri warisan arkeologi yang dilengkapi dengan kemudahan bukan sahaja dapat menempatkan hasil penemuan purba, malah boleh dijadikan pusat rujukan untuk orang awam mengenai sejarah ketamadunan manusia yang wujud kira-kira 5,000 tahun dahulu.

Beliau menambah, pihaknya banyak menjalin kerjasama dengan agensi tempatan termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana memerlukan kepakaran teknikal dari pelbagai aspek.

“Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah ada melantik beberapa jabatan untuk dijadikan panel penasihat termasuklah pasukan Pusat Penyelidikan Arkeologi USM (PPAG) yang diketuai oleh Prof. Dr. Mokhtar Saidin, MBSP serta JKR yang kebanyakkannya dari jabatan teknikal.

“Ini bagi memastikan kawasan warisan ini terpelihara selain ingin memastikan kita mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645),” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.