Datuk Seri palsu tipu pelaburan RM3.32 juta diberkas - Utusan Malaysia

Datuk Seri palsu tipu pelaburan RM3.32 juta diberkas

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Polis menumpaskan satu penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta yang didalangi lelaki menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang, Selasa lalu.

Menerusi serbuan serentak itu, pihaknya berjaya menahan sembilan individu berusia lingkungan 41 hingga 62 tahun terdiri daripada enam wanita dan tiga lelaki termasuk Datuk Seri terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya mengesan kegiatan sindiket terbabit berasaskan ‘preference shares’ atau saham keutamaan yang dikenali dengan nama pelaburan Planetrade (Plan E Investment). 

“Hasil serbuan bertindak merampas enam buah kenderaan mewah iaitu Bentley (1), Toyota Vellfire (2), Mercedes Benz GLC 200 (1), BMW X4 (1) dan Ford Ranger (1). 

“Turut dirampas pelbagai barangan lain seperti telefon bimbit (13), kad ATM (7), komputer (2), set dokumen perjanjian (7) selain beg serta kotak berisi dokumen berkaitan pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan mendapati suspek utama berusia 46 tahun menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dan sindiket ini telah aktif sejak Januari 2021.

Katanya, sindiket terbabit yang menggunakan medium media sosial untuk mencari mangsa akan menjanjikan keuntungan empat peratus hingga lima peratus setiap bulan daripada modal yang dilaburkan.

“Bagi meyakinkan pelabur, wang mereka ini juga akan dilaburkan ke medium patuh syariah di dalam dan luar negara bagi menjamin kadar keuntungan yang besar,” ujarnya.

Tambah Mohd Kamarudin, bagaimanapun, mangsa ini menyedari ditipu selepas hanya menerima pulangan pada peringkat awal sahaja.

Tegasnya, setakat ini, terdapat 21 laporan polis membabitkan sindiket ini dengan kerugian berjumlah RM3.32 juta dan polis menggesa mangsa lain untuk tampil membuat laporan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 selain tindakan beku ke atas 27 akaun bank bernilai lebih RM700,000 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” katanya.

Justeru, polis mengingatkan agar masyarakat usah mudah percaya dengan kegiatan promosi pelaburan dalam media sosial dan dapatkan nasihat secara terus melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN