CAAM pantau pesawat menjelang sempadan dibuka - Utusan Malaysia

CAAM pantau pesawat menjelang sempadan dibuka

Prestasi bertambah baik itu dipacu kejayaan penstrukturan semula MAG dan pertumbuhan hasil perniagaan kargo. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan sentiasa melakukan pemantauan keselamatan pesawat menjelang pembukaan sempadan negara bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Chester Voo Chee Soon berkata, agensi itu juga akan terus menyediakan sokongan kepada operator yang memerlukan bantuan sewajarnya.

“Ini termasuk memudah cara pihak industri dan berharap sektor penerbangan awam akan dapat memulakan kembali operasi dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Pekeliling terbaharu makluman keselamatan (SI) bilangan 7/2022 itu yang juga memansuhkan memo SI 06/2021 sebagai merujuk isu sempadan negara dibuka bermula pada 1 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Mac lalu membuat kejutan apabila mengumumkan kelonggaran tersebut sebagai tempoh fasa peralihan endemik.

Sebelum sektor penerbangan komersial ditutup pada 18 Mac 2020 lalu, sejumlah 958,456 buah pesawat direkodkan di semua lapangan terbang seluruh negara ini sepanjang 2019.

Menurut data Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), seramai 59.9 juta penumpang menaiki pesawat pada tahun itu sebelum angkanya menjunam kepada 15.6 juta pada 2020.

Apabila pintu sempadan negara ditutup, hanya 373,327 buah pesawat direkodkan Mavcom sepanjang 2020 lalu dengan sebahagian besar mengangkut peralatan perubatan Covid-019.

Mengulas lebih lanjut, Chester berkata, selaras pemulihan berperingkat operasi penerbangan awam seluruh dunia, CAAM mengingatkan operator udara agar kekal sentiasa berwaspada.

“Mereka perlu memastikan tahap penyelenggaraan dan persediaan rapi pesawat mematuhi peraturan serta garis panduan untuk memastikan tahap tinggi keselamatan awam,” jelasnya.

Langkah itu, ujarnya, meliputi pemeriksaan status kesihatan mental semua kru pesawat dengan senarai semak sebelum, semasa dan selepas penerbangan selain risiko penilaian berkala.

Pada masa sama, tegasnya, industri juga diingatkan agar meningkatkan latihan bagi memulih semula tahap kecekapan juruterbang, jurutera, kru kabin, staf darat dan pengawal trafik udara.

SI terkini itu turut menggariskan pengurusan kelayakan berterusan pesawat sebelum boleh terbang yang melibatkan pelbagai langkah termasuk pemeriksaan teknikal dan isu mekanikal.

Penyedia perkhidmatan trafik udara pula, kata Chester, turut perlu bersiap siaga iaitu bakal menerima lonjakan frekuensi penerbangan awam yang tidak dijangka khususnya pada waktu puncak.

“Untuk operator udara pula, mereka harus menyediakan cukup sumber manusia termasuk jadual penggiliran kru dengan jeda rehat bagi mengelak keletihan bertugas agak lama,” katanya.

Sementara operator terminal atau aerodrom, pemeriksaan keseluruhan wajar segera dilakukan untuk memastikan fizikal landasan yang selamat selain tanda isyarat berfungsi dengan baik.

Tidak ketinggalan ialah situasi sekeliling lapangan terbang termasuk pagar, perparitan dan sebagainya untuk kelancaran serta bebas gangguan unsur luar seperti haiwan dan benda asing.

Beliau juga mengingatkan semua pihak tetap kekal pematuhan prosedur operasi standard bagi pengawalan penularan wabak Covid-19 terutama aspek kawalan kesesakan penumpang. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN