Budi bicara Agong tidak perkenan bubar Parlimen - Utusan Malaysia

Budi bicara Agong tidak perkenan bubar Parlimen

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk memperkenan atau sebaliknya berhubung permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Datuk Ikbal Salam berkata, perkara itu termaktub di bawah Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Seri Paduka boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsinya yang membabitkan tiga perkara.

Jelas beliau, peruntukan itu menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melaksanakan fungsi iaitu melantik seorang Perdana Menteri, tidak memperkenan permintaan pembubaran Parlimen, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berkenaan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja.

“Perkara itu sekali gus menunjukkan kuasa membubarkan Parlimen adalah hak prerogatif Agong dalam soal membubarkan Parlimen.

“Ini bermakna jika Perdana Menteri menghadap Agong untuk permintaan pembubaran Parlimen, Seri Paduka boleh untuk tidak memperkenan permintaan itu,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan berkaitan cadangan untuk membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO sebelum dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

Desakan itu semakin hangat setelah kegagalan kerajaan melanjutkan tempoh penguatkuasaan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) apabila 86 Ahli Parlimen mengundi menentangnya manakala 85 menyokong sekali gus melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, meskipun MoU ditandatangani atas dasar persefahaman, namun memberi kesan kepada kedudukan kerajaan sekiranya ada pihak mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Katanya, keadaaan itu boleh menyebabkan dua situasi iaitu Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan atau beliau boleh memohon perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU).

“Kerajaan sekarang stabil kerana disokong oleh PH yang berjanji memberikan sokongan dalam Dewan Rakyat untuk sebarang usul termasuklah pindaan undang-undang. Hanya dengan kelebihan itu, pimpinan Perdana Menteri masih bertahan sehingga kini.

“Sebaliknya ia dikatakan goyah apabila sokongan kerajaan adalah tipis dengan kelebihan beberapa ahli Parlimen di blok kerajaan berbanding pembangkang, tetapi sekiranya ada wakil rakyat cenderung atau melompat parti, bila-bila masa kerajaan boleh runtuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN