JOHOR BAHRU: Golongan ibu bapa khususnya mereka yang memiliki anak yang baru memulakan sesi persekolahan tahun satu tetap teruja menghantar anak-anak mereka walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 masih belum reda.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui menzahirkan keyakinan mereka terhadap kemampuan pihak berkuasa dan juga pengurusan sekolah dalam memastikan proses pembelajaran berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Perunding takaful, Azizi Majid, 39, memberitahu, walaupun kebimbangan masih ada, namun dia tetap teruja melihat anaknya, Aryan Rizqi yang memasuki tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Amar, di sini.
“Anak saya baru-baru ini telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), justeru saya harap semuanya baik-baik sahaja.
“Saya tengok dengan norma baharu sekarang ini, pihak pengurusan sekolah pun telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan virus dalam kalangan murid,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Firdaus Abd. Jalil, 39, pula berkata, sebagai ketua keluarga pastinya keselamatan dan kesihatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan, namun dalam masa sama dia juga mahu anak-anak mendapat pendidikan sempurna.
“Saya akui kebimbangan itu memang ada, apatah lagi kes positif baharu masih lagi agak tinggi, namun saya juga percaya anak-anak ini perlu melalui sistem pendidikan formal seperti kanak-kanak terdahulu.
“Ini bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan sempurna dalam membentuk jati diri mereka, sebagai ibu bapa apa yang boleh kita lakukan adalah mengingatkan mereka agar sentiasa berwaspada.
“Dalam masa sama, saya juga berharap guru-guru akan sentiasa memberi peringatan kepada murid-murid agar memakai topeng pelitup muka, mungkin mereka akan terlupa kerana masih kecil lagi,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu, tinjauan yang dijalankan di beberapa sekolah di bandar raya ini mendapati pembukaan sekolah bagi sesi baharu ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. –UTUSAN ONLINE










