BENTONG: Persaingan hebat pasaran minyak atar dan minyak wangi oleh pengusaha tempatan tidak mematahkan semangat, Bilal Mohd. Aslam, 28, untuk meneruskan perniagaannya walaupun pendapatan tidak seberapa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda yang berasal daripada sebuah perkampungan kecil di Punjab, Pakistan berkata, sememangnya sudah lumrah bukan semua penggemar minyak atar dan minyak wangi memilih jenama daripada negara Asia Barat.
“Ini kerana minyak atar dan minyak wangi pengusaha tempatan (negara ini) menjadi pilihan ramai khususnya dalam kalangan orang muda selain harga minyak berkenaan mampu dibeli.
“Namun, minyak atar dari Asia Barat seperti keluaran dari Arab Saudi khasnya dari Mekah dan Madinah, Iraq, Iran dan beberapa negara lain tetap menjadi pilihan dalam kalangan orang-orang tua dan mereka yang pernah menunaikan fardhu haji dan umrah,” katanya di sini semalam.
Bilal yang menyewa gerai Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) di Masjid Tengku Sulaiman, Sungai Marong di sini berkata, dia selesa berniaga di situ kerana kedudukan premis itu strategik serta ramai pelanggan pelbagai peringkat usia datang berbelanja di situ.
“Sudah lebih dua tahun saya berniaga minyak atar di sini dan selain itu barang yang dipamerkan untuk jualan seperti pakaian iaitu jubah, kurta, kain telekung, pakaian wanita dan kopiah kesemuanya didatangkan dari negara Timur Tengah.
“Antara jenama minyak atar popular dan kerap dibeli pelanggan iaitu jenis Kasturi Kijang, Kasturi Putih, Madinah Melaka, Subuh, Sultan Brunei dan beberapa jenama lain yang kesemua mempunyai aroma segar dan berkualiti mengikut pilihan masing-masing,” katanya.
Dia menambah harga minyak atar yang paling murah iaitu RM5 hingga RM100 sebotol bergantung kepada kualiti, aroma dan kuantiti yang dipilih pelanggan.
“Biasanya pelanggan paling ramai ketika hari Jumaat selepas solat mereka berbelanja di kedai ini bukan sahaja minyak atar malah pakaian dan kopiah.
“Hari lain juga ada pelanggan dan musafir yang singgah ke kedai ini dan pendapatan setiap hari bolehlah dikumpul bagi bayaran sewa gerai termasuk modal menambah minyak atar yang baru diperoleh daripada rakan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Jelasnya, kebanyakan musafir dalam perjalanan ke Kelantan dan Kuala Lumpur mengikut laluan bandar Bentong singgah bersolat di Masjid Tengku Sulaiman kerap berbelanja minyak atar, malah, ada yang transit semula beberapa bulan kemudian untuk membelinya. –UTUSAN ONLINE