SEREMBAN: Pengusaha hotel di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson menghadapi situasi pembatalan tempahan penginapan dan penganjuran majlis seperti seminar disebabkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 semasa.
Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, meskipun ketika ini adalah musim cuti sekolah, namun, hotel-hotel di Port Dickson juga tidak menerima banyak tempahan bilik penginapan seperti kebiasaan.
“Sekarang ini, sejak kembali meningkat jumlah kes positif Covid-19, banyak penganjuran mesyuarat, seminar dibatal dan ditangguhkan, itu keadaannya ketika ini.
“Musim cuti sekolah ini juga bukan macam selalu, tempahannya juga tidak serancak biasa dan perlahan, agaknya orang ramai bimbang dan berwaspada untuk bercuti berikutan kes Covid-19 yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Haziz berkata, pihaknya sangat menyambut baik pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan peralihan ke fasa endemik termasuk keputusan untuk membuka sempadan negara bermula 1 April depan.
“Saya harap bulan hadapan apabila sempadan negara dibuka, mudah-mudahan perniagaan hotel akan meningkat kembali. Kami juga sudah tentu bersedia untuk menyambut kehadiran pelancong-pelancong asing, lagi lama kita tutup sempadan, sektor pelancongan kita pasti teruk terjejas.
“Sebagai contoh di Port Dickson sebelum ini, tempahan bilik pada hari Isnin sehingga Khamis memang kebanyakannya datang dari pelancong luar negara. Apabila sempadan negara ditutup, tempahan penginapan pada hari-hari tersebut berkurangan, perniagaan kami memang hanya tertumpu pada hujung minggu sahaja,” katanya.
Mengenai pemansuhan had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai, beliau berkata, keputusan tersebut juga tentu memberikan kelegaan buat industri hotel terutama bagi penawaran bufet berbuka puasa pada bulan Ramadan kelak.
“Di Negeri Sembilan pada tahun lalu, dengan had kapasiti 50 peratus, sambutan terhadap pelaksanaan bufet Ramadan di hotel juga sangat baik apatah lagi dengan kapasiti penuh kali ini.
“Pendapatan hotel pada bulan puasa banyak datang daripada bufet Ramadan. Tahun ini boleh buat dengan kapasiti penuh, tentunya ia lebih bagus.
“Bagaimanapun saya telah mengingatkan ahli-ahli supaya tidak tamak dan perlu sentiasa utamakan prosedur operasi standard (SOP). Kita kena sentiasa berjaga-jaga, pihak hotel juga bimbang jika orang terlalu ramai, lagipun hotel masih lagi menghadapi masalah kekurangan pekerja,” jelas Haziz. –UTUSAN ONLINE