Barisan Nasional (BN) tidak takut kempen `Poster boy’ PN - Utusan Malaysia

Barisan Nasional (BN) tidak takut kempen `Poster boy’ PN

HASNI Mohammad (kiri) bertukar pandangan dengan anak muda ketika singgah ke sebuah warung di Parit Mekuaseng di Benut, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) tidak takut dengan kempen ‘Poster boy’ Perikatan Nasional (PN) dengan gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana zaman bekas Menteri Besar Johor itu sudah berakhir dan negeri ini melalui banyak perubahan ketika era Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, penggunaan gambar Muhyiddin tidak akan memberi nilai tambah terhadap gabungan itu.

Kata beliau, kempen tersebut juga langsung tidak akan menjejas dan ‘menggentarkan’ BN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berbaki lapan hari sahaja lagi.

“Kami hargai apa yang telah dilakukan ketika beliau menjadi Menteri Besar selama dua penggal dari 1986 hingga 1995, namun saya fikir zaman beliau telah lama berlalu dan Johor pun telah banyak berubah sejak beliau meninggalkan jawatan Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas berjumpa dengan penduduk di Kampung Parit Kerimun, Benut, semalam.

Sejak beberapa hari lalu, banyak poster dan kain rentang memaparkan wajah Muhyiddin mula dipasang oleh jentera PN seperti yang dilakukan pada kempen PRN Melaka, November tahun lalu.

Hasni yang juga calon BN DUN Benut berkata, rakyat Johor kini telah bergerak ke hadapan dalam pelbagai bidang yang pastinya memerlukan perkara-perkara baharu dalam kehidupan mereka.

Mengenai kempen PN dan pembangkang yang masih membangkitkan modal ‘kluster mahkamah’, beliau menyifatkan BN juga boleh bertindak balas mengenai kes-kes mahkamah yang melibatkan pembangkang sekiranya mahu.

Katanya, kes seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bukan sahaja telah dituduh tetapi digugurkan ketika perbicaraan berjalan, namun BN tidak menggunakan isu tersebut untuk berkempen.

“Rakyat sebenarnya boleh menilai seperti yang berlaku di PRN Melaka, apabila kempen seperti itu berlaku juga dengan harapan BN dan UMNO gagal dalam pilihan raya tersebut. Apa yang berlaku di Melaka, kemenangan BN tidak pun boleh mengubah keputusan mahkamah atau mencampuri urusan perundangan yang telah dihadapi seseorang,” jelasnya.

Katanya, kematangan jentera pilihan raya BN di Johor yang lebih membawa isu bagi masa depan rakyat Johor berbanding membangkitkan isu mahkamah sepatutnya diberikan keutamaan yang sama oleh parti-parti lain yang bertanding.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama kakitangan Mctronic di Benut, Hasni berkata, sesebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dapat melancarkan perancangan sesuatu dasar dilaksanakan, sekali gus mampu meyakinkan pelabur datang ke Johor.

Beliau berkata, bukti sesebuah kerajaan itu stabil dapat dilihat menerusi pentadbiran yang mengamalkan polisi mesra pelaburan.

“Perkara ini boleh dilakukan. Sebagai contoh, syarikat kontrak berkaitan penyelenggaraan, pengurusan dan sebagainya dapat dilahirkan dalam masa terdekat. Masih banyak lagi perancangan yang tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru, pilihan raya ini dapat membolehkan wujudnya sebuah kerajaan yang stabil dan mesra pelabur kerana Johor sememangnya berpotensi menjadi pilihan pelabur berikutan kedudukan yang strategik kerana berjiran dengan negara maju, Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN