Barisan Nasional (BN) Johor ikhlas realisasi Ikhtiar - Utusan Malaysia

Barisan Nasional (BN) Johor ikhlas realisasi Ikhtiar

Mohd. Fared Mohd. Khalid tegaskan Ikhtiar PRN Johor untuk kemakmuran rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang menggariskan lima inisiatif utama seperti diumumkan Selasa lalu merupakan satu tawaran yang seimbang kepada segenap lapisan rakyat Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ikhtiar ketiga khusus berkenaan Orang Muda Johor (OMJ) juga membuktikan BN Johor serius dalam memberi penekanan kepada kelompok itu.

Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah itu turut menegaskan, BN langsung tidak menjanjikan tawaran-tawaran yang bersifat bombastik semata-mata untuk memenangi hati para pengundi.

“Ikhtiar BN Johor mencakupi semua segmen masyarakat baik dalam aspek keagamaan, pendidikan, ekonomi, kemajmukan, budaya hingga lah ke bidang teknologi. Ia tawaran yang adil kepada rakyat Johor.

“Tawaran-tawaran ini yang saya yakin boleh dilaksanakan dan berkadaran dengan kemampuan kewangan negeri serta mampu direalisasikan dengan ikhlas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad ketika mengumumkan Ikhtiar BN Johor menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk mengembalikan kemakmuran Johor dengan ekonomi yang maju, perniagaan bercambah, infrastruktur moden dan kualiti hidup terbaik.

Selain OMJ, empat ikhtiar lain adalah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik yang ditegaskan Hasni bukan satu janji tetapi berikhtiar bersama-sama rakyat untuk menentukan masa depan Johor yang stabil.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi BN Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba turut yakin matlamat yang diutamakan dalam lima Ikhtiar BN Johor itu berupaya membantu rakyat memilih calon dan parti yang dapat memanfaatkan segala tindakan dan pelaksanaan.

Kata beliau, ikhtiar berkenaan berlandaskan keyakinan dan pandangan jauh yang diteliti dan perlu diterjemahkan oleh semua calon BN melalui penyampaian maklumat kepada pengundi di DUN masing-masing.

“Ikhtiar BN Johor memberi gambaran kepada pengundi untuk memilih BN sebagai kerajaan yang mampu menterjemahkan hasrat dan pelaksanaan segala kemajuan dan kemakmuran serta kestabilan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN