CYBERJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia 100 peratus dari segi kawalan keselamatan menjelang pembukaan penuh sempadan negara pada 1 April ini.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kesemua cabang pasukan berkenaan malah telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan setelah sempadan dibuka.
“Ya, kita sudah bersedia 100 peratus, namun buat masa sekarang belum sesuai untuk saya menguar-uarkan terlebih dahulu sehingga ada kenyataan rasmi Menteri Pertahanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan julung kali Ekspo Usahawan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia di gedung Malakat Mall di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan negara sebagai fasa peralihan pandemik kepada endemik Covid-19, namun mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak kemungkinan sempadan dibolosi anasir asing yang cuba menjejaskan tahap ancaman keselamatan awam.
Ini termasuk penyeludupan bahan larangan, produk bersubsidi, pemerdagangan manusia dan penyusupan pendatang asing tanpa izin yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, dari segi kesiapsiagaan kekuatan anggota dan aset untuk dikerahkan memang sudah ada, bahkan ATM hanya menunggu arahan daripada pihak atasan.
“Kita sendiri juga telah ada membuat kajian awal ke atas impak pembukaan sempadan negara yang melibatkan isu keselamatan tetapi saya tidak boleh lagi dedah kepada umum,” jelasnya.
Bahkan beliau enggan membuka mulut mengenai bentuk persediaan dan hanya berkata, pihaknya menunggu kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Butiran terperinci perkara itu ujarnya, memang sudah disediakan dan berharap ia diumumkan dalam masa terdekat sebelum sempadan negara dibuka seperti situasi sebelum era Covid-19.
Beliau juga tidak menyatakan apakah ATM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti polis dalam pelaksanaan operasi tertentu yang pernah dilakukannya bersama sebelum ini. – UTUSAN
Kapsyen: AFFENDI Buang ketika sidang akhbar selepas merasmikan buat julung kali Ekspo Usahawan Veteran TLDM di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD










