PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia melantik Prof. Datuk Dr. Aishah Bidin sebagai wakil baharu negara ini ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, pelantikan itu bagi penggal 2021-2024 dan menggantikan penyandang terdahulu, Eric Paulsen yang tamat tempoh tiga tahun berkhidmat.
“Dengan pengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia, kerajaan yakin beliau mampu galas tugas dan tanggungjawab melalui AICHR,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2009 di bawah artikel 14, Piagam ASEAN dan antara organ badan serantau ini dengan mandat bagi mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.
Ia bertanggungjawab secara langsung kepada menteri-menteri luar ASEAN dalam peranan penentuan hala tuju kerjasama dengan organ lain, badan sektoral dan pihak luar yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, Aishah juga akan mempertahankan dan menggalakkan kepentingan Malaysia berhubung pelbagai isu hak asasi manusia menerusi wadah AICHR.
“Pelantikan ini merupakan manifestasi iltizam kerajaan yang jelas dalam usaha mempromosi dan melindungi isu tersebut dan kebebasan asas sejajar agenda utama ASEAN,” terang beliau.
Kerajaan Malaysia pada masa yang sama ujarnya, ingin merakamkan penghargaan kepada Paulsen atas perkhidmatan dan dedikasi beliau sejak dilantik pada 2019 sehingga tahun lepas.
Aishah ialah Felo Undang-Undang Korporat dan Insolvensi di Akademi Sains Malaysia selain bekas profesor bidang sama Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau malahan juga merupakan bekas Pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yang pernah diberikan tanggungjawab atas portfolio Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Mantan Dekan Fakulti Undang-Undang UKM dan bekas penasihat undang-undang UKM Holdings itu juga pernah bertugas di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.
Ini termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Korporat Malaysia, serta Ahli Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Kebankrapan dan Insolvensi Korporat.
Sementara Paulsen pula ialah bekas Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty yang pernah mencetuskan banyak kontroversi berkaitan isu penghinaan ke atas agama Islam di Malaysia.
Antaranya biadab menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyebarkan fahaman ekstrem menerusi khutbah Jumaat selain mengutuk keras cadangan pelaksanaan hukum hudud.
Kelantangan pendirian beliau mengecam Islam sebagai agama Persekutuan menyebabkan beliau dilucutkan sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia pada 2020 lalu. –UTUSAN ONLINE