Ahli Parlimen tak hadir sebab enggan sokong SOSMA - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen tak hadir sebab enggan sokong SOSMA

Ahli Parlimen DAP dakwa pemimpin UMNO sengaja enggan sokong pengundian SOSMA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kerajaan daripada UMNO yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen dikatakan berbuat demikian kerana tidak mahu menyokong undang-undang berkenaan.

Ahli Parlimen itu merupakan pemimpin tertinggi parti dan sangat berpengaruh, bagaimanapun, individu tersebut terpaksa mengambil ‘jalan selamat’ dengan ponteng semasa proses undian.

Hal itu kerana, jika beliau terus berada di dalam Dewan Rakyat sehingga proses undian selesai, ia akan menuntutnya untuk bersetuju dengan usul dibawakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Wong Hon Wai berkata, beliau sendiri sempat bersembang dengan pemimpin tersebut di Parlimen meminta penjelasan sebab tidak hadir ketika sesi pengundian.

Tanpa berdolak dalih, pemimpin itu memberitahu beliau enggan bersetuju dengan usul tersebut, dan satu-satunya pendekatan diambil daripada mengelakkan undi memihak kepada kerajaan adalah dengan ‘tidak hadir’ ke dalam Dewan.

“Ya, memang ada ahli Parlimen kerajaan tidak menyokong usul ini. Saya sendiri bersembang dengan beliau di koridor Parlimen dan memberitahu saya, dia tidak menyokong usul kerajaan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Hon Wai, keputusan tidak hadir juga bukanlah dibuat pada saat akhir kerana ahli-ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat makluman dua jam lebih awal tentang undi belah bahagian akan dilakukan.

“Sebenarnya, wakil-wakil rakyat kerajaan tahu ada undi belah bahagian. Tidak mungkinlah seorang ahli Parlimen sahaja tahu dan yang lain tidak tahu.

“Jadi, mereka ahli Parlimen kerajaan bergegas pulang selepas mengetahui undi belah bahagian akan diadakan. Mereka memang tahu kami pembangkang membantah usul tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pula berkata, beliau sendiri mendengar pengakuan jujur daripada pemimpin UMNO berkenaan.

Katanya, ia berlaku pada waktu petang selepas sahaja Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2022 bacaan kali ketiga melibatkan pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik kepada kerabat diraja.

“Saya tidak mahu sebut siapa pemimpin ini, tetapi pastinya dia adalah pemimpin UMNO. Saya juga sendiri tanya kenapa tidak hadir, alasannya kerana tidak mahu sokong usul kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×