KUALA NERUS: Tempoh kuarantin selama seminggu akibat Covid-19 dimanfaatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menyiapkan buku baharu yang bertajuk Hidayah.
Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, manuskrip setebal 400 muka surat itu kini sudah siap sepenuhnya dan dijangka diterbitkan dalam masa terdekat.
“Buku itu mula ditulis sejak sebulan lalu tetapi berjaya siap dalam tempoh kuarantin di rumah.
“Ini sekali gus menggambarkan yang tahap kesihatan tuan guru sangat baik, malah semalam saya berhubung dengan beliau dan suaranya semakin ceria dan InshaAllah akan kembali berkhidmat selepas habis kuarantin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahad lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang disahkan positif Covid-19 tetapi hanya mengalami gejala ringan iaitu demam dan batuk.
Anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bapanya pertama kali dijangkiti virus itu dan menjalani kuarantin di rumah hingga hari ini.
Menurut Syahir, penghasilan Hidayah merupakan kesinambungan daripada buku tulisan Abdul Hadi sebelum ini iaitu ‘Celupan Jarum Kecil di Lautan Ilmu al-Quran’ dan ‘Taqwa’ yang disiapkan semasa dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, selain menulis buku, Abdul Hadi juga mengikuti secara dekat perkembangan berita dalam dan luar negara terutama krisis membabitkan Rusia-Ukraine. – UTUSAN










