7 bekas exco negeri antara kecundang dalam PRN Johor

7 bekas exco negeri antara kecundang dalam PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai tujuh calon dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang pernah menjadi exco kerajaan negeri tewas di kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengetuai senarai Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani apabila tewas kepada muka baharu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Najib Samuri yang juga Ketua Pemuda UMNO Sri Gading.

Semasa PH memerintah di bawah bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian, Aminolhuda adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tewas dengan majoriti 294 undi pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi semasa zaman pentadbiran Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Di Kota Iskandar, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad kecundang kepada calon BN, Pandak Ahmad dengan majoriti 4,360 undi.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor itu turut bertukar portfolio kepada Perumahan, Komunikasi dan Multimedia ketika rombakan susulan peletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali yang tewas di Paloh adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif selain turut menjaga hal ehwal belia dan sukan.

Seorang lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, Mohd. Khuzzan Abu Bakar yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Kebudayaan turut tewas kepada BN di Semerah.

Beliau yang hanya menang dengan 98 majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu kali ini kalah kepada Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Khalid yang mendapat majoriti 4,041 undi.

Dalam blok PN, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd. Solihan Badri terpaksa akur dengan pilihan pengundi di Gambir walaupun kerusi itu pernah disandang Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi juga senasib di Bukit Permai.

Dr. Chong Fat Full yang bertanding di Tangkak pula tewas di tangan calon PH setelah bertukar kerusi dari Pemanis.

Selain itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang mencuba kali keenam untuk bergelar wakil rakyat turut kecundang di Pulai Sebatang kepada calon BN dengan majoriti 6,235 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN