5 juta belum manfaatkan program PeKa B40 - Utusan Malaysia

5 juta belum manfaatkan program PeKa B40

KHAIRY Jamaluddin merasmikan Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih kurang lima juta rakyat Malaysia yang layak membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) tidak memanfaatkan program tersebut. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, di peringkat nasional setakat ini, hanya 561,000 individu yang layak telah membuat saringan kesihatan sejak program PeKa B40 bermula Februari lalu. 

“Jumlah yang layak membuat saringan adalah lebih 5 juta orang, jadi, kita lihat ramai yang tidak memanfaatkan program PeKa B40 ini walaupun ia percuma. 

“Melalui PeKa b40, individu yang layak perlu datang ke Klinik Kesihatan, mungkin ramai yang malas datang ke klinik jadi mereka buat pilihan untuk tidak pergi, oleh itu, kementerian berhasrat untuk turun ke lapangan termasuk kawasan kampung dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang dekat sini hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, berikutan sambutan yang kurang menggalakkan menerusi program PeKa B40, Kementerian Kesihatan berhasrat menjadikan bulan Julai sebagai bulan pemeriksaan kesihatan Malaysia. 

“Cadangan adalah pada bulan Julai, nanti kami akan maklumkan tarikh dan sasaran berapa juta orang yang akan disaring.

“Ini penting kerana selama dua tahun, kita tidak dapat buat banyak program perkhidmatan kesihatan sebab kita sibuk dengan Covid-19. Sekarang, masa yang sesuai untuk kita gerakkan semula program bukan Covid-19 supaya kita dapat tahu tahap kesihatan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, pihaknya menjangkakan peratusan jumlah kanak-kanak yang divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan mencapai 50 peratus sebelum sekolah dibuka minggu hadapan.

“Sekarang, hanya sekadar 32 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerima vaksin Covid-19, saya lihat ada sedikit peningkatan.

“Sekolah akan dibuka seminggu lagi, jadi saya merayu kepada ibu bapa untuk segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak-anak sebagai langkah perlindungan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN